Malaysia Berita

TMJ: Harimau Malaya perlu bekerja keras di atas padang, bukan taksub dengan media sosial

Tunku Ismail Sultan Ibrahim memberi satu pesanan berguna kepada para pemain bola sepak terutamanya kepada skuad kebangsaan.

Beliau berkata, para pemain seharusnya menunjukkan prestasi cemerlang di atas padang berbanding ‘prestasi’ di media sosial.

“Saya selalu berpesan kepada semua pemain, perkara pertama yang kita harus lakukan adalah bekerja di atas padang.

“Saya juga sudah banyak kali nasihat para pemain agar ‘slow down’. Saya bukan tidak benarkan mereka menggunakan media sosial tetapi saya sarankan ‘slow down in social media’.

“Hendak berkongsi gambar boleh, hendak ‘keep in touch’ dengan kawan-kawan dan orang yang kita sayangi boleh.

“Tetapi tidak boleh terlalu taksub sangat dalam media sosial. Kalau anda sentiasa buka dan baca komen, katakanlah majoriti komen adalah negatif, ia akan memberi kesan kepada ‘mental health’ dan ia akan memberi kesan kepada ‘performance’ anda.”

Beliau berkata, adalah lebih wajar telefon digunakan sebagai tempat mencari motivasi, sebaliknya biarlah prestasi di atas padang yang menjadi kayu pengukur.

“Yang terbaik adalah matikan telefon anda, gunakan untuk hubungi sama ada teman wanita, isteri, ibu bapa atau kawan-kawan.

“Orang kata ‘action speaks louder than words’. Biarlah ‘your actions do the talking not in social media’. Itu prinsip dan nasihat saya kepada pemain-pemain.

“Lebih-lebih lagi yang bermain dalam skuad kebangsaan. Begitu banyak ‘expectation’, ramai orang mengharapkan mereka beraksi dengan baik, dan ramai orang menilai.

“Oleh itu, ini bukan masanya untuk media sosial, ini adalah masa untuk fokus pada sesi latihan anda, kerja keras dan ‘performance’ anda.”