Liga Super Malaysia Berita

Dari Barat ke Timur: Faisal Halim sertai Terengganu

Faisal Abdul Halim diperkenalkan secara rasmi sebagai pemain baharu Terengganu.

Pemain berusia 22 tahun yang berasal dari Pulau Pinang itu menandatangani kontrak sehingga 2022.

CEO Terengganu, Ab Rasid Jusoh berkata Faisal merupakan salah seorang yang diminati ketua jurulatih, Nafuzi Zain.

Faisal memulakan kariernya di Pulau Pinang pada 2015 sebelum berhijrah ke Pahang pada 2016.

Sepanjang bersama Pahang, beliau membantu pasukannya menjadi naib juara Piala FA 2017 sebelum menjadi juara pada edisi 2018 dengan menewaskan Selangor 2-0 di pentas final.

Selepas empat tahun di Kuantan, Faisal akan menyertai revolusi Terengganu dengan Nafuzi membuat rombakan besar-besaran terhadap pasukannya.

Beliau akan memakai jersi nombor 7 yang digunakan oleh bekas kapten pasukan, Lee Tuck yang kini berhijrah ke Pahang.