Kemenangan bergaya 5-1 ke atas Tai Po FC dalam pusingan kedua kelayakan AFC Champions League malam tadi memberikan keyakinan tinggi kepada Kedah apabila berhadapan dengan FC Seoul pada 28 Januari nanti.
Jurulatih Kedah, Aidil Sharin Sahak berharap pasukannya dapat meneruskan rentak cemerlang walaupun sedar kelab dari Korea Selatan itu bukan lawan yang mudah dan mempunyai barisan pemain yang jauh lebih baik.
“Ini bukan mudah, kami perlu bekerja keras lagi sebabnya tahap permainan di Korea adalah tinggi,” kata Aidil kepada Bernama.
“Tapi dalam bola sepak saya percaya apa sahaja boleh berlaku, jika kita berusaha lebih sudah pasti akan dapat keputusan yang baik.
“Kemenangan adalah langkah yang positif untuk pemain. Sebagai jurulatih sudah pasti saya mahukan yang lebih baik setiap hari daripada pemain.”
Kipre Tchetche menjadi wira Kedah apabila mencatatkan hatrik pada penampilan pertamanya dan dua gol lagi dijaringkan oleh Hadin Azman.
Bagaimanapun, Tchetche mengakui beliau tidak menyangka dapat menjaringkan begitu banyak gol sehingga membantu Kedah mara ke pusingan seterusnya.
“Kita dah dapat apa keputusan yang kita nak, tugas saya adalah menjaringkan gol jika ada peluang baik.”
Pihak lawan Kedah, iaitu FC Seoul meraih slot play-off Champions League selepas menduduki tempat ketiga dalam K League 1 musim lepas.
Kelab Korea Selatan itu pasti mahu kembali bersaing dalam Champions League selepas tiga tahun gagal melayakkan diri ke kejohanan tersebut.