Liga Super Malaysia Berita

JDT dan JDTII alami kekalahan dalam perlawanan pra-musim

Juara bertahan Liga Super Malaysia, Johor Darul Takzim dan pasukan feedernya JDTII masing-masing dikejutkan dengan kekalahan dalam perlawanan pra-musim.

JDT yang mengadakan sesi pra-musim buat kali pertama di Dubai, UAE menurunkan kesebelasan terbaik termasuk kapten pasukan Hariss Harun, Diogo Luis Santo, Safawi Rasid, Nazmi Faiz dan Farizal Marlias.

Namun JDT terpaksa akur apabila tewas 2-0 kepada juara Liga Latvia, FC Riga menerusi gol Roman Debelko pada minit ke-35 dan Felipe Brisola pada minit 88.

JDTII pula turun menentang Madura United di Larkin namun dikejutkan oleh pasukan pelawat yang mencatatkan kemenangan 2-1 di saat-saat akhir.

Pasukan Liga Perdana itu mendahului menerusi Firdaus Ramli pada minit ke-21.

Namun Madura bangkit daripada ketinggalan apabila David Laly menyamakan kedudukan pada minit ke-49 dan Rifaldy Bawuo menjaringkan gol kemenangan di minit-minit akhir perlawanan.

JDT akan meneruskan pra-musim berdepan kelab UAE, Dibra Al Fujairah esok, diikuti skuad kebangsaan Turkmenistan (26 Januari), kelab Slovakia, MSK Zilina (29 Januari) dan Emirates FC (30 Januari).