Liga Super Malaysia Berita

Stadium baharu JDT sedia diguna untuk Piala Sumbangsih 2020

Tidak lama lagi, peminat Johor Darul Takzim bakal menonton pasukan kesayangan mereka di Stadium Sultan Ibrahim bermula dengan perlawanan Piala Sumbangsih pada 28 Februari depan.

Menurut Setiausaha Kehormat Kelab Bolasepak JDT, Mohd Anizam Jamian berkata stadium itu akan siap sepenuhnya selewat-lewatnya hujung bulan Januari, iaitu sebulan awal sebelum permulaan Liga Super.

“Rumput Zeon Zoysia di stadium kini berada dalam keadaan yang terbaik untuk digunapakai oleh pasukan dan kami hanya perlu menunggu untuk sedikit lagi sentuhan terakhir kepada sebuah stadium yang hebat ini.”

Stadium Sultan Ibrahim akan menjadi stadium kedua selepas Stadium Tun Abdul Razak milik Felda United yang beroperasi sepenuhnya sebagai stadium bolasepak.

Stadium yang terletak di Iskandar Puteri itu mula dibina pada 30 Januari 2016 dan dijangka siap pada Januari 2020.

Dengan kos pembinaan sekitar RM200 juta, stadium tersebut mempunyai kapasiti sehingga 40,000 penonton dalam satu-satu masa.

 

Stadium itu juga akan menempatkan ibu pejabat JDT, pusat latihan dan pusat beli-belah.

Bentuk stadium pula diinspirasikan dengan daun pisang dan akan diserikan dengan LED berwarna biru, merah dan putih sebagai simbolik warna bendera Johor yang akan menyala pada waktu malam.