Malaysia Berita

Piala AFF Suzuki 2018 : Kita Akan Buktikan Di Atas Padang – Zaquan Adha

Kapten skuad negara, Zaquan Adha Abd Bakar menegaskan bahawa beliau tidak ambil peduli dengan kata-kata penjaga gol Thailand yang seperti memperlekehkan skuad Harimau Malaya.

Dalam satu sidang media semalam, penjaga gol Thailand Chatchai Budprom kelihatan yakin selepas mengeluarkan kenyataan yang meminta pasukan negara untuk lebih bersedia kerana bakal menghadapi mimpi buruk tetapi kenyataan itu disanggah oleh jurulatih Thailand yang menyatakan bahawa beliau tidak mahu terlalu yakin dengan pasukannya.

Bagi beliau, skuad negara sudah bersedia daripada segi mental dan fizikal untuk menghadapi pasukan Gajah Perang esok dan apa yang perlu dibuktikan adalah dengan menunjukkan aksi yang terbaik bagi menundukkan pasukan jiran.

“Untuk saya apapun yang mereka cakap kita tak ambil pusing, yang penting kita tahu pasukan kita bersiap sedia dari segi fizikal dan mental, mungkin apa yang dia cakap itu sekadar psikologi.

“Kita ambil benda yang positif, kita lawan semula apa yang dia cakap jadi jawapan dia, esok malam kita tunjuk dalam padang,” katanya kepada Sukan NSTP.

Untuk rekod, Malaysia mempunyai rekod yang buruk ketika berhadapan dengan pasukan Thailand apabila kali terakhir mencatat kemenangan ke atas pasukan Gajah Perang adalah pada 2014 dan gagal menjaringkan gol pada lima perlawanan terakhir di sana.

Justeru beliau akan memastikan barisan penyerang negara akan berusaha mencari gol awal meskipun pasukan negara hanya memerlukan seri 1-1 dengan Thailand jika mahu layak ke pentas final.

“Mungkin esok mereka akan jaringkan gol, kita juga akan jaringkan gol, tapi tekanan lebih kepada mereka. Kita akan cuba sehabis baik untuk bermain, kita tahu di Kuala Lumpur mereka lebih bertahan, di sini selagi mampu kita menyerang kita akan menyerang, kita tahu mereka juga takut dengan cara permainan kita.

“Yang penting semangat dan keyakinan kita.Mana tahu rezeki kita kali ini di Bangkok, insya-Allah saya yakin pemain akan berikan aksi terbaik,” katanya kepada Sukan NSTP