Kajian & Analisis

Piala AFF Suzuki 2018 : Thailand vs Malaysia (Analisa Praperlawanan)

Malaysia

Kekuatan : Malaysia akan turun dengan sepenuh kekuatan bagi menghadapi pasukan Gajah Perang untuk melayakkan diri ke pentas final Piala AFF Suzuki 2018. Skuad kendalian Tan Cheng Hoe sekali lagi akan menggunakan kebijaksanaan bahagian sayap bagi mengatur serangan. Kemampuan Sumareh dan Safawi dalam mengelecek pihak lawan serta larian yang pantas pasti akan mengucar-kacirkan pertahan Thailand. Manakala mereka akan dibantu oleh dua penyerang berpengalaman negara, Norshahrul Idlan Talaha dan Zaquan Adha dalam misi menembusi gawang gol pasukan Thailand.

Kelemahan : Kelemahan yang sangat jelas dapat dilihat pada separuh akhir pertama di Stadium Nasional Bukit Jalil, Sabtu lalu adalah kekurangan pada penyudah. Bahagian serangan negara dilihat gopoh dalam menyelesaikan kerja mereka. Beberapa peluang terhidang yang sepatutnya disudahkan oleh bahagian serangan negara gagal disudahkan dengan baik. Tan Cheng Hoe perlu memperbaiki kelemahan ini dan meminta pemainnya agar lebih tenang serta fokus dalam menyudahkan peluang yang terhidang. Bermain dihadapan penyokong Gajah Putih adalah satu cabaran besar buat skuad negara dan mereka tidak boleh mensiakan sebarang peluang yang hadir.

Pemain tumpuan : Mohamadou Sumareh

Thailand

Kekuatan : Bermain dihadapan penyokong sendiri adalah satu kelebihan buat pasukan Thailand setelah berjaya seri dengan Malaysia pada perlawanan separuh akhir pertama. Dengan kapasiti 50,000 tempat duduk, perlawanan ini bakal menjadi perlawanan tumpuan dua seteru ASEAN. Tambahan pula, Thailand mempunyai rekod yang baik apabila bermain di halaman sendiri. Pasukan kendalian jurulatih daripada Serbia ini telah mencetak 14 gol sepanjang kempen ini berlangsung dan lapan gol dijaringkan oleh Adisak Kraisorn.

Kelemahan : Thailand dilihat lemah pada bahagian pertahanan mereka apabila mudah dibolosi penyerang Malaysia pada perlawanan pertama separuh akhir, Sabtu lalu. Mujur kelemahan mereka ini tidak dihukum oleh penyerang Malaysia apabila Harimau Malaya gagal menyempurnakan beberapa peluang terhidang. Pertahanan mereka dilihat tidak fokus dan tenang dalam mengawal asakan daripada Malaysia. Dalam satu kenyataan media, pengendali Thailand Milovan Rajevac mengakui bahawa fokus beliau pada perlawanan separuh akhir kedua ini lebih kepada memperkemaskan bahagian pertahanan Gajah Perang.

Pemain Tumpuan : Adisak Kraison