Berita Asia

Tukarkan tujuh pemain, mahu beri peluang kepada pemain beraksi dalam Kejohanan AFC B-16 – Yoshiro Moriyama

Ketua jurulatih Jepun B-16, Yoshiro Moriyama telah melakukan rombakan pemain dengan merehatkan lebih separuh tonggak utama dalam aksi menentang Tajikistan semalam.

Hal tersebut dilakukan oleh beliau demi memberikan pededahan kepada para pemainnya dalam saingan antarabangsa ini.

“Tujuan utama saya melakukan pertukaran pemain untuk perlawanan ini (berdepan Tajikistan) kerana mahu pemain lain juga dapat pengalaman beraksi di kejohanan ini.”

“Malah, beberapa pemain juga tampak keletihan dan sebab itu saya tukar tujuh pemain yang beraksi pada perlawanan pertama (berdepan Thailand),” katanya.

Hasilnya, Jepun sekadar terikat 0-0 bersama Tajikistan dan kini menghuni tangga pertama Kumpulan A dengan 4 mata.

Dan perlawanan akhir mereka adalah menentang tuan rumah, Malaysia dan perlawanan ini bakal menjadi perlawanan yang sengit dengan kedua-dua pasukan mahukan kemenangan demi kemaraan ke saingan kalah mati.

Mengulas mengenai perlawanan Jepun menentang Tajikistan, beliau menjelaskan bahawa anak buahnya gagal beraksi dengan baik manakala Tajikistan pula berjaya menyukarkan Jepun dengan memenuhi kawasan kotak penalti.

“Tajikistan beraksi dengan baik terutama di bahagian pertahanan. Ramai pemain mereka yang berada di kawasan penalti dan ia menyukarkan kami.”

“Malah, pemain saya juga gagal bertindak lebih baik untuk menghasilkan gol. Jadi kami perlu menang ke atas Malaysia untuk muncul juara kumpulan,” katanya.