Malaysia Berita

Saya tak nak balik awal, nak terus beraksi di Thailand-Shahrel Fikri

Selepas timbul berbagai-bagai spekulasi mengenai status dirinya, Shahrel Fikri Md Fauzi mengesahkan bahawa beliau tiada sebarang perancangan untuk menamatkan tempoh pinjamannya bersama Nakhon Ratchasima lebih awal.

Sebaliknya, beliau akan kekal beraksi di Liga Thailand sehingga akhir musim ini.

“Masih ada 10 perlawanan liga untuk diharungi, saya tidak akan lari atau balik awal, saya akan terus bermain sehingga kontrak saya bersama Nakhon berakhir pada hujung musim.

“Saya juga akan menggunakan baki perlawanan itu untuk cuba memikat Nakhon dan kelab lain di Thailand dengan harapan dapat meneruskan karier di Thailand musim depan.

“Jadi, tidak timbul isu saya mahu balik awal walaupun saya akui apa yang saya tulis melalui Twitter itu adalah luahan perasaan saya.

“Memang saya sunyi dan rindukan keluarga tapi tidak bermakna saya mahu balik awal,” katanya kepada Berita Harian.

Shahrel yang dipinjamkan PKNP FC kepada Nakhon selama lima bulan sejak Jun lalu mencetuskan kebimbangan peminat apabila meluahkan perasaannya menerusi akaun Twitternya.

Dalam pada itu, Shahrel merupakan antara pemain yang disenaraikan jurulatih, Tan Cheng Hoe untuk menjalani latihan bersama skuad kebangsaan menjelang aksi persahabatan menentang Taiwan dan Kemboja minggu depan.

Namun, Shahrel sendiri belum pasti sama ada dapat menyertai latihan yang bermula Isnin ini kerana masih belum menerima sebarang surat pelepasan daripada kelabnya.