Piala Malaysia Berita

Tumbangkan JDT di Alor Star, jurulatih Kedah bingung Liridon Krasniqi cium kakinya

Jurulatih Kedah yang baharu, Azzmi Abd. Azmi tidak dapat menyembunyikan perasaan terkejut apabila pemainnya, Liridon Krasniqi bertindak mencium kakinya selepas menjaringkan gol ketiga ketika menewaskan JDT 3-1 di Stadium Darul Aman semalam.

Katanya, beliau hanya boleh memikirkan apa yang dilakukan Liridon adalah spontan kerana mungkin terlalu gembira ketika menjaringkan gol ketiga pada minit ke-94.

“Saya tidak terfikir pun Mat Don akan buat macam itu. Tindakan itu spontan. Mungkin beliau hargai saya selepas ambil alih tugas melatih pasukan ini.

“Mungkin komunikasi yang baik buat dia selesa bekerja dengan saya. Saya selalu bercakap dan menyampaikan apa yang saya rasa betul tentang bolasepak ini kepada semua pemain dan syukur mereka semua boleh menerima pandangan saya. Saya masih baharu dalam bidang kejurulatihan ini,” katanya kepada Sinar Harian.

Mengulas lanjut, Azzmi mengambil pendekatan berkomunikasi dengan semua pemain dari semasa ke semasa terutamanya mereka yang masih lagi dalam proses pemulihan kecederaan.

Jelasnya, semua pemain turut memberi sokongan penuh kepada beliau baik semasa waktu latihan dan juga pada perlawanan sebenar selain tidak membezakan mana-mana pemain.

“Semua pemain adalah sama, pada saya suasana yang harmoni dalam pasukan adalah sangat penting. Perkara ini yang saya sangat utamakan. Kita mesti hargai setiap usaha pemain dan apabila anda bekerja pasti mendapat hasil yang baik,” katanya.

Bagaimanapun, Azzmi menganggap perjuangan pasukannya untuk memburu slot suku akhir masih belum selesai dan perlu terus memburu kemenangan bagi aksi akhir Kumpulan C bertemu Kelantan pada 16 September di Kota Bharu.

Kemenangan ke atas JDT melonjakkan Kedah ke kedudukan kedua Kumpulan C Piala Malaysia 2018 dengan lapan mata, berkongsi mata dengan MISC-MIFA di tempat pertama.