Piala Malaysia Berita

Terengganu FC sah ke suku akhir Piala Malaysia 2018

Terengganu FC turun menentang Felcra FC untuk perlawanan keempat Kumpulan A kejohanan Piala Malaysia 2018. Perlawanan yang berlangsung di Stadium Bola Sepak Cheras, Kuala Lumpur pada malam tadi menyaksikan Terengganu menang 4-1 ke atas Felcra FC.

Felcra FC bermula dengan langkah kanan apabila mula mendahului seawal minit ke-3 menerusi David Laly. Namun mereka tersentak apabila kapten Terengganu FC menyamakan kedudukan pada minit ke-17.

Memasuki separuh masa kedua, pemain import daripada England, Lee Tuck menjadi hero apabila berjaya mencipta hatrik pertamanya bersama Terengganu FC pada musim ini. Dia menjaringkan gol pada minit ke-54, minit ke-61 (penalti) dan minit ke-79.

Lee Tuck ketika ditemui selepas perlawanan berkata yang perlawanan pada malam ini antara detik yang paling indah dan akan menyemarakkan lagi semangatnya bersama pasukan.

“Ini detik paling indah dan malam teristimewa saya bersama TFC kerana bukan hanya berjaya membantu pasukan mencatat kemenangan tetapi ia hatrik pertama saya musim dan ia menyemarakkan lagi semangat saya.”

Kemenangan itu bukan sahaja meletakkan Terengganu FC gah ditangga pertama Kumpulan A, malah menjadikan Terengganu FC pasukan pertama yang mengesahkan diri untuk saingan suku akhir Piala Malaysia 2018 walaupun masih berbaki 2 perlawanan di peringkat kumpulan.

“Namun, apa yang lebih penting kemenangan malam ini berjaya membawa pasukan mara lebih awal ke peringkat suku akhir walaupun masih berbaki dua perlawanan bertemu Perak dan Kuala Lumpur di tempat sendiri,” tambah Lee Tuck.

Setakat 4 perlawanan yang diharungi kini, Terengganu FC mengumpul 10 mata menerusi 3 kemenangan dan 1 seri. Mereka mempunyai baki 2 perlawanan bertemu Perak dan Kuala Lumpur di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu.