Berita Asia

Evan Dimas mahu Luis Milla kekal bimbing Indonesia

Di sebalik kekecewaan Malaysia mara ke suku akhir, ada juga pasukan lain yang turut sama kecewa biarpun sudah menunjukkan aksi hebat dan turut berharap untuk pergi jauh dalam aksi bolasepak Sukan Asia.

Indonesia, dengan sokongan padu penyokong tuan rumah pastinya berharap mahu mara sekurang-kurangnya ke separuh akhir selepas telah melakukan persiapan rapi untuk Sukan Asia. Dan pastinya mereka juga mahu beradu tenaga dengan Malaysia di separuh akhir seperti mereka ungkapkan sebelum ini.

Pemain tengah Selangor FA, Evan Dimas antara yang terlibat dengan skuad bawah 23 tahun Indonesia untuk Sukan Asia kali ini.

Skuad Garuda muda ini telah mendapat asuhan dan tunjuk ajar daripada bekas pemain Real Madrid, Luis Milla. Namun, selepas tersingkirnya skuad Garuda Muda, ada reaksi berbeza daripada penyokong Indonesia mengenai masa depan Luis Milla yang memang dilantik untuk membimbing Indonesia di Sukan Asia.

Bagi Evan sendiri, dia mahu Milla terus kekal membimbing Indonesia.

“Ya, kalau secara peribadi saya tetap ingin Luis Milla (menjadi jurulatih), kerana dia jurulatih yang bagus dan bijak.

“(Namun) Semua itu terserah kepada PSSI,” kata Evan seperti dilaporkan oleh Bola.com.

Persatuan Bolasepak Indonesia (PSSI) telah mendapatkan Luis Milla untuk membimbing Indonesia untuk Sukan Asia di Jakarta tahun ini. Oleh sebab itu, kontraknya bersama Indonesia dilaporkan akan tamat pada penghujung Ogos ini.

Setakat ini belum ada khabar jika Indonesia akan mengekalkan Luis Milla untuk Piala AFF Suzuki yang akan berlangsung hujung tahun ini kerana keutamaan Indonesia adalah untuk Sukan Asia.