Luar Negara Piala Dunia 2018

Macam mimpi dapat lawan Brazil di Piala Dunia, kata Roberto Martinez

Jurulatih Belgium, Roberto Martinez mendedahkan peluang beraksi di peringkat suku akhir menentang juara lima kali Piala Dunia, Brazil bagaikan mimpi di siang hari.

Katanya, pertemuan antara dua pasukan tersebut Sabtu ini merupakan sebuah perlawanan impian buat pemainnya.

“Kedua-dua pasukan dibentuk untuk menjaringkan gol dan memenangi perlawanan,” kata Martinez.

“Menentang Brazil, ia tidak akan mengisahkan mengenai kedudukan bola tetapi apakah yang kamu akan lakukan dengannya. Ini semua adalah sebenarnya Piala Dunia.

“Kami tahu kemampuan pasukan tetapi Brazil menjadi pilihan utama dan ini meletakkan kami dalam satu peranan yang berbeza berbanding sebelum ini.

“Namun, ia satu perlawanan impian buat pemain, mereka lahir untuk bermain dalam perlawanan seperti ini. Jujurnya, kami mahukan kemenangan tetapi kami tidak mahu terlalu meletakkan jangkaan dan ia satu perbezaan yang penting,” katanya.

Pasukan kendalian Martinez hampir tersingkir sebelum bangkit mencatat kemenangan 3-2 ke atas Jepun pada pusingan 16 terakhir sebelum ini sekali gus menempah tempat untuk bertemu Brazil.

“Menentang pasukan seperti Brazil, kamu perlu menyerang dan bertahan dengan 11 pemain.

“Saya tidak bercakap mengenai sistem tetapi lebih kepada memahami apakah yang perlu dilakukan apabila kami memiliki ruang,” kata Martinez.

“Saya tak rasa ia akan menjadi perlawanan yang penuh dengan rahsia.

“Kami perlu bertahan sebaik mungkin dan kemudian mengecewakan mereka apabila memiliki bola. Ia mungkin dilihat mudah tetapi pasukan sudah bersedia,” katanya. – Reuters