Malaysia Piala FA Malaysia

Tiket final Piala FA tak laku, adakah ini angkara Piala Dunia?

Pada kebiasaannya, tiket perlawanan akhir adalah yang paling laris dalam kalangan penyokong tempatan terutamanya tiket final Piala FA dan Piala Malaysia.

Namun, apa yang berlaku baru-baru ini cukup luar biasa apabila kaunter penjualan tiket membabitkan penyokong Selangor dan Pahang di stadium masing-masing tidak dikerumuni oleh penyokong seperti tahun-tahun sebelum ini.

Pekarangan Stadium Shah Alam dilaporkan lengang apabila hanya ada beberapa penyokong bola sepak yang hadir untuk membeli tiket perlawanan akhir Piala FA antara Selangor menentang Pahang, Sabtu ini.

Mereka juga kelihatan tertanya-tanya sama ada kaunter jualan tiket perlawanan itu dibuka kerana tiada orang yang beratur panjang seperti kebiasaan.

Seorang penyokong Selangor, Abd. Hamid Ahmad, 42, yang datang kira-kira pukul 9.30 pagi terkejut melihatkan keadaan stadium yang sunyi sepi.

Malah, beliau siap membawa bekalan makanan kerana bimbang perlu beratur panjang seperti pada tahun lalu.

“Setiap kali perlawanan akhir membabitkan Selangor, saya akan beli banyak tiket dan saya akan beratur banyak kali untuk dapatkan tiket.

“Kadang-kadang saya akan bawa anak saya dan beratur bersama-sama beli tiket.

“Dulu, seorang boleh beli lima keping tiket sahaja, tetapi tahun ini saya dapat beli banyak sebab orang tidak ramai.

“Saya dapat beli 60 tiket dewasa dan lapan tiket kanak-kanak untuk ahli keluarga saya dan kawan-kawan. Alhamdulillah, tidak perlu beratur banyak kali pada tahun ini.

“Inilah kali pertama saya tengok jualan tiket final Piala FA suram.

“Mungkin faktor sedang berlangsung Piala Dunia menyebabkan keghairahan peminat tempatan untuk menonton perlawanan Piala FA hilang,” katanya kepada Berita Harian.

Penjual tiket, Syed Muhazam Syed Abd. Wadut pula mendedahkan kaunter jualan tiket perlawanan akhir biasanya bagaikan dilanda tsunami apabila orang ramai berduyun-duyun datang mahu membeli tiket, namun tahun ini lain pula yang terjadi.

“Saya juga sudah bersedia berhadapan kerenah penyokong kerana pada tahun lalu saya dimarahi penyokong yang tidak berpuas hati apabila mereka gagal membeli tiket.

“Kalau tahun lalu, selepas dua jam kaunter dibuka, tiket sudah habis dijual tetapi sehingga jam 12 tengah hari jualan tidak sampai 10 peratus dari 1,500 tiket yang diperuntukkan di setiap kaunter,” katanya.

Seorang peniaga minuman, Shahrul Aizat Zulkeple, turut menerima tempias tersebut.

“Tidak pernah tengok suasana macam ini, sebab biasanya Piala FA atau Piala Malaysia, jika berkaitan Selangor memang meriah. Namun kali ini suram, tiada apa-apa.

“Tahun lalu sebanyak 30 karton air tin habis dijual dan ia belum termasuk dengan jualan air mineral. Hari ini satu karton pun belum habis dijual sehingga jam 11 pagi,” katanya.

Pekarangan Stadium Darul Makmur di Pahang turut menerima nasib yang sama.

Sebelum kaunter jualan dibuka pada pukul 9.30 pagi, hanya kira-kira 50 penyokong Pahang sahaja yang beratur untuk membeli tiket final Piala FA.

Lapan kaunter yang disediakan Persatuan Bolasepak Negeri Pahang (PBNP) juga lengang walaupun tiada had pembelian tiket.

Di Stadium Mini Majlis Perbandaran Temerloh, jualan tiket juga kurang mendapat sambutan yang menggalakkan.

Apa yang boleh disimpulkan dari fenomena ini adalah tiket yang berharga RM50 sekeping dan demam Piala Dunia 2018 yang masih berlangsung malah menjadi bahan perbualan peminat bola sepak di seluruh dunia ketika ini menjadi faktor penyokong Selangor dan Pahang tidak begitu teruja untuk menyaksikan perlawanan akhir Piala FA kali ini.