Piala Dunia 2018 Santai

Perseteruan bola sepak dunia yang akan mencabar Lionel Messi vs Cristiano Ronaldo

Pentas Piala Dunia 2018 sudah tertutup buat dua pemain terbaik dunia ketika ini, Lionel Messi dan Cristiano Ronaldo.

Jika dilihat daripada usia mereka yang semakin meningkat, sudah tiba masanya untuk melihat pemain lain bagi dijadikan perbandingan.

Berikut adalah beberapa pemain bola sepak yang mungkin mampu menggantikan perseteruan antara dua orang bintang ini dalam beberapa tahun akan datang:

Raheem Sterling vs Marcus Rashford

Kedua-duanya muda, sedang meledak dan beraksi di Manchester. Bezanya, Sterling menyarung jersi Manchester City sementara Rashford adalah pertaruhan Manchester United. Mereka sering dibandingkan tidak kira dalam skuad England atau ketika beraksi di Liga Perdana Inggeris. Berbekalkan usia yang masih muda, kita bakal menyaksikannya dalam tempoh yang lama.

Mohamed Salah vs Harry Kane vs Romelu Lukaku

Persaingan dua nama pertama tampaks sengit dalam saingan Liga Perdana Inggeris musim 2017/18. Salah dan Kane berebut status penjaring terbanyak dan akhirnya dimenangi Salah dengan perbezaan tipis. Satu nama pesaing yang mampu mencabar mereka adalah penggempur Manchester United, Romelu Lukaku, yang turut beraksi selaku pemburu jaringan.

Paul Pogba vs Eden Hazard vs Kevin De Bruyne

Selain posisi menyerang, persaingan sering wujud dalam bahagian perancang. Sama ada Paul Pogba, Eden Hazard atau Kevin De Bruyne yang beraksi di England, mereka tetap akan terus mencetuskan perdebatan buat penggemar Liga Perdana Inggeris.

Jan Oblak vs David de Gea

Di posisi penjaga gol, perdebatan tampak lebih meluas. Posisi Manuel Neuer yang sering disifatkan sebagai penjaga gol terbaik dunia dicabar oleh beberapa nama yang lebih muda seperti David De Gea (Manchester United) dan Jan Oblak (Atletico Madrid). Namun, apa yang membuatkan mereka sedikit kekurangan adalah kedua-duanya masih belum menjulang trofi Liga Juara-Juara Eropah serta kejuaraan peringkat antarabangsa.

Neymar vs Gareth Bale vs Antoine Griezmann

Perdebatan antara Neymar dan Gareth Bale sebagai pengganti Messi vs Ronaldo telah disebut selama beberapa tahun tetapi ia mulai reda apabila Neymar meninggalkan Barcelona untuk ke Perancis. Jika Bale kembali ke prestasi terbaik, isu ini tetap mampu diteruskan. Satu lagi nama yang turut memberi cabaran adalah penggempur Atletico Madrid, Antoine Griezmann.

Kylian Mbappe vs Ousmane Dembele vs Gabriel Jesus

Hasil daripada persembahan di Piala Dunia 2018, Mbappe dilihat lebih unggul berbanding Dembele. Namun, pemain sayap Barcelona itu masih berpeluang mencipta kegemilangan di Sepanyol. Nama ketiga, Jesus, adalah penggempur muda Manchester City yang telah berada dalam senarai tiga terbaik anugerah Golden Boy 2017, iaitu penghargaan bagi pemain muda terbaik dunia.