Kita sering melihat pemain atau pengurus yang beraksi di Piala Dunia hadir ke negara-negara Asia Tenggara untuk meneruskan karier. Namun, begitu juga sebaliknya. Ternyata wujud segelintir pemain, pengurus serta pengadil yang terlebih dahulu melakukan penampilan di Asia Tenggara sebelum menikmati saingan Piala Dunia.
Andrew Nabbout
Penyerang Australia ini pernah tampil beraksi bersama Negeri Sembilan. Malah, dia tampil hebat dengan catatan sembilan gol dalam 14 penampilan pada 2016 tetapi tetap dilepaskan pasukan itu. Nabbout akhirnya kembali ke negaranya untuk mewakili Newcastle Jets, sebelum menarik perhatian dan berpindah ke Urawa red Diamonds dalam saingan Liga J1. Penampilan epiknya telah membolehkannya ke Piala Dunia 2018.
Hamid Estili
Wira kemenangan Iran ke atas Amerika Syarikat ketika Piala Dunia 1998 ini jelas telah beraksi di Asia Tenggara terlebih dahulu sebelum menyumbat gol di pentas terbesar itu. Setahun sebelum saingan di Perancis, Estili telah beraksi di Liga Singapura bersama Geylang United atau kini dikenali dengan nama Geylang International. Walaupun hanya seketika, rakyat Singapura mengingatinya kerana tahap profesionalisme dan daya kerja yang tinggi.
Marcel Mahouve
Pemain yang sehingga kini menimbulkan persoalan sama ada anak kepada legenda Cameroon, Roger Milla, ini benar-benar pernah beraksi di Liga Indonesia pada 1996-97. Bersama Milla, dia mewakili Putra Samarinda (Pusam) dan layak ke 12 pasukan terbaik Liga Indonesia II. Setahun kemudian, dia berhijrah ke Perancis untuk menyertai Montpellier, sekaligus membolehkannya menerima panggilan ke Piala Dunia 1998.
Jalal Talebi (pelatih)
Pengendali skuad kebangsaan Iran di Piala Dunia 1998 ini telah menguruskan Geylang United di Singapura pada 1996. Setahun kemudian, dia berkelana seketika bersama PSM Makassar sebelum mengendalikan barisan kebangsaan yang muda buat Indonesia. Talebi tidak didak mengharungi tempoh yang lama di Indonesia kerana selepas itu, dia membawa cabaran Iran ke Piala Dunia 1998.
Alireza Faghani (Pengadil)
Pengadil dari Iran ini mengendalikan pertemuan antara Mexico dan Jerman di peringkat kumpulan Piala Dunia 2018 dan dia pernah mengadili enam perlawanan dalam saingan Liga 1 Indonesia pada tahun lalu. Dia mengendalikan aksi antara Persib Bandung bertemu Bhayangkara (keputusan 1-1), Persija lawan PS TNI (4-1), Persib lawan Madura United (0-0), Persiha lawan Semen Padang (2-0), Barito Putera lawan Bali United (1-1) serta Persipura lawan Arema FC (3-1).
Dua Wakil Malaysia
Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menerima penghormatan untuk menghantar dua wakil mereka ke pentas Piala Dunia 2018. Mereka adalah Subkhiddin Hj Mohd Salleh dan Christopher Raj. Bagaimanapun, kedua-duanya tidak akan dilihat di kaca televisyen kerana mereka lebih banyak bertugas di belakang tabir.