Luar Negara Berita

Kemasukan Teerasil Dangda di babak kedua jadi senjata rahsia Sanfrecce Hiroshima

Teerasil Dangda semakin menikmati pentas tertinggi Liga J1 Jepun bersama pasukannya, Sanfrecce Hiroshima. Baru-baru ini, dia tampil ketika pasukannya meraih kemenangan menewaskan Vegalta Sendai di laman lawan dalam perlawanan ke-14 pasukannya.

Seperti dalam perlawanan terdahulu, Teerasil masuk di babak kedua menggantikan Daiki Watari. Walaupun tidak menjaringkan gol atau mencipta bantuan jaringan, kelibat penyerang dari Thailand ini jelas mengubah jalan cerita dalam aksi tersebut. Ketika aksi berkedudukan 1-1, ia berubah kepada 3-1 untuk menghadirkan kemenangan sejak kemasukannya.

Teerasil menempuh jarak sejauh 4.184 kilometer dan melakukan larian sebanyak 12 kali. Gerakan permainannya di bahagian sayap jelas membuatkan barisan benteng Vegalta kepenatan.

Tuan rumah terlebih dahulu unggul menerusi gol pendahuluan Hiroaki Okuno pada minit ke-13, namun penyerang Sanfrecce dari Brazil, Patric, menyamakan kedudukan pada minit ke-22 selepas menyempurnakan hantaran Kosei Shibasaki dan membolehkan babak pertama tamat dengan kedudukan 1-1.

Melihat serangan anak-anak buahnya tidak menemui sentuhan yang berakhir dengan gol, pengendali pasukan, Hiroshi Jofuku, memasukkan Teerasil pada minit ke-62. Pada minit ke-72, mereka berjaya meletakkan diri di depan menerusi jaringan Yoshifumi Kashiwa yang menyudahkan umpanan pemain senior, Toshihiro Aoyama.

Jaringan kedua Patric hadir pada minit ke-89 untuk memastikan kemenangan buat pelawat. Sanfrecce kini semakin gah di puncak liga dengan kutipan 37 mata, 11 mata berbandi FC Tokyo yang menduduki tangga kedua. Menjelaskan kepada wartawan, Teerasil bercerita mengenai rahsianya beraksi penuh bertenaga di babak kedua. “Saya berusaha melakukan yang terbaik untuk membantu rakan sepasukan dan saya berharap berpeluang untuk menjaringkan gol tetapi masih belum meraihnya. Bagaimanapun, bagus kami meriah kemenangan.”

Seminggu sebelumnya, ketika aksi liga ke-13 yang berlangsung pada 6 Mei lalu, Teerasil turut masuk ke padang dari bangku simpanan. Ketika itu, dia berjaya melakukan bantuan gol buat Patric untuk menghasilkan jaringan kedua, sekaligus memastikan kemenangan 2-0 Sanfrecce Hiroshima ke atas Vissel Kobe.

Jika melihat kepada corak ini, ternyata Jofuku lebih gemar menggunakan Teerasil sebagai tenaga tambahan buat penyerang yang dipertaruhkan dalam kesebelasan utama disaat mereka sudah keletihan di babak kedua. Kepantasan Teerasil dalam melakukan larian cukup berguna dalam mengucar-kacirkan barisan benteng pasukan lawan. Ia bererti bahawa pemain yang dipinjamkan dari Muangthong United ini sudah menjadi sebahagian daripada perancangan taktikal skuad Sanfrecce Hiroshima bagi musim 2017/18.