Malaysia Liga Super Malaysia

Jurulatih Kelantan tidak puas hati dengan prestasi pemain

Fajr Ibrahim sangat tidak berpuas hati dengan prestasi pemainnya setelah tewas 1-2 kepada PKNP FC dalam aksi Liga Super di Kota Bharu baru-baru ini.

Katanya, pemain Kelantan terlalu mudah melakukan kesilapan sedangkan dari segi corak permainan sudah berada di tahap terbaik dan hanya perlu memastikan pasukan mencatatkan kemenangan apabila tamat perlawanan.

“Saya tidak akan bertanggungjawab di atas kesilapan individu. Dua gol pasukan lawan itu hasil kesilapan pemain, begitu mudah sekali mereka dapat menjaringkan gol. Terutama gol kedua itu, saya tidak percaya perkara seperti ini boleh berlaku hingga menyebabkan kita kalah.

“Kita menguasai perlawanan tetapi hasilnya tiada. Keputusan lebih penting, apabila bermain cantik sepatutnya mendapat keputusan baik tetapi kita bermain bagus tapi keputusannya negatif,” katanya kepada Berita Harian.

Pada aksi tersebut, salah faham antara pertahanan import, Cassio dan penjaga gol, Fikri Che Soh menyaksikan pasukannya dihukum oleh PKNP FC hasil jaringan Shahrel Fikri pada minit ke-83.

Kelantan sudahpun ketinggalan 0-1 pada minit ke-61 menerusi jaringan Hafiz Ramdan tetapi Imran Samso berjaya menyamakan kedudukan.

Mengulas lanjut, Fajr akan melakukan beberapa perubahan bagi memastikan kekalahan mudah menentang PKNP FC tidak berlaku lagi pada masa akan datang.

“Kesilapan sama tetapi situasi berbeza kali ini. Memang saya marah tetapi ia telah berlaku dan kadang kala dalam bola sepak ada perkara lebih teruk daripada ini boleh  berlaku.

“Saya kena perbetulkan kesilapan dan bantu pemain, apa yang berlaku sudah berlaku dan saya kena terima keputusan ini,” katanya.