Asia Tenggara

#PrayForSurabaya: Bambang Pamungkas dan Arema FC luahkan kesedian ekoran insiden pengeboman di Surabaya

Tragedi pengeboman di Surabaya telah mengejutkan ramai orang. Kejadian menyedihkan itu yang berlaku semalam telah menimbulkan rasa sedih dan simpati masyarakat dunia.

Insiden keganasan itu turut menarik perhatian bekas pemain bolasepak kebangsaan Indonesia, Bambang Pamungkas yang meluahkan rasa sedih menerusi laman Twitter peribadinya.

Bambang menulis: “Turut berduka cita yang sedalam-dalamnya ke atas peristiwa pengeboman di Surabaya pagi ini.

“Duka Surabaya, duka Indonesia, duka kita semua.

“Rapatkan barisan agar Surabaya terus kuat, Indonesia terus kuat, dan kita semua kuat.”

Selain Bambang Pamungkas, insiden ini turut menarik perhatian pasukan-pasukan bertanding di Liga 1 Indonesia.
Antaranya adalah seteru kepada Persebaya Surabaya, Arema yang menunjukkan solidariti mereka dalam perlawanan menentang PSM Makassar beberapa jam selepas insiden.

Sebelum perlawanan, kedua-dua pasukan berkabung bagi memperingati mangsa yang terkorban dan mengenakan lilitan hitam di lengan sebagai tanda berduka.

“Semoga bolasepak menjadi medium yang tepat untuk memperjuang nilai kemanusiaan, semua pihak perlu bersatu melawan segala bentuk keganasan,” kata Pegawai Media Arema FC, Sudarmaji seperti dilaporkan Bolalob.com.

Satu insiden pengeboman telah berlaku di tiga buah gereja di Surabaya pada jam 6.30 pagi, 7.15 pagi dan 7.53 pagi.