Luar Negara

Ex-Liverpool XI: Kesebelasan terbaik jika 11 bekas pemain Liverpool digandingkan

Liverpool mempunyai reputasi sebagai pasukan yang sering menjual pemain-pemain terbaik mereka. Mereka melepaskan Fernando Torres ke Chelsea pada tahun 2011, sebelum menjual Luis Suarez ke Barcelona pada tahun 2014. Baru-baru ini, The Reds juga dipaksa memberi laluan kepada Philippe Coutinho untuk menyertai Barcelona.

Cuba bayangkan jika kita mengumpul sebelas bekas pemain Liverpool untuk membina sebuah skuad? Berikuat adalah senarai 11 pemain yang telah kami pilih.

Jika dibandingkan dengan skuad utama Liverpool pada masa ini, kesebelasan mana yang dijangka akan meraih kemenangan?

Penjaga Gol: PEPE REINA

Penjaga gol ini adalah antara bekas ikon kelab yang paling disayangi oleh peminat Liverpool, terutamanya selepas dia membantu mereka mara ke final Liga Juara-Juara Eropah pada tahun 2006. Selepas membuat 395 penampilan untuk Liverpool, dia berhijrah ke Napoli dan kini menjadi antara pemain paling penting di sana.

Pertahanan: SEBASTIAN COATES

Sejujurnya, bintang Uruguay ini tidak begitu menyerlah bersama Liverpool dan jarang diberi peluang beraksi di dalam kesebelasan pertama. Malah, dia hanya membuat kurang daripada dua puluh penampilan bersama Liverpool, sebelum dijual kepada Sunderland. Namun, selepas gagal menyerlah di sana juga, Coates menyertai Sporting Lisbon, di mana dia telah berkembang menjadi antara tonggak yang penting.

Pertahanan: MAMADOU SAKHO

Cuba bayang jika Sakho kekal di Liverpool dan digandingkan bersama Virgil van Dijk? Pemain yang berasal daripada Perancis ini dibawa masuk daripada Paris Saint Germain, namun akhirnya dilepaskan selepas hubungannya bersama Jurgen Klopp mengalami masalah. Kini, dia sedang bermain di Crystal Palace, di bawah bekas jurulatih Liverpool, Roy Hodgson.

Pertahanan: MARTIN SKRTEL

Skrtel juga merupakan antara ikon kelab yang masih disayangi oleh penyokong Liverpool sehingga kini. Dia membuat 320 penampilan untuk The Reds, sebelum dijual oleh Jurgen Klopp kepada Fenerbache di Liga Turki.

Tengah: JOE ALLEN

Walaupun diberi gelaran 'Welsh Xavi' oleh bekas jurulatihnya, Brendan Rodgers, Joe Allen gagal menunjukkan aksi yang memberangsangkan bersama Liverpool. Tetapi, selepas membantu Wales mara ke separuh akhir Euro 2016, Allen berpindah ke Stoke City, di mana dia sudah menjadi antara pemain yang paling konsisten.

Tengah: JAVIER MASCHERANO

Siapa yang boleh melupakan Javier Mascherano. Selepas menyertai Liverpool daripada West Ham, Mascherano menjadi antara pemain yang paling konsisten di bahagian tengah, dan sering digandingkan dengan Xabi Alonso. Dia kemudiannya berpindah ke Barcelona, sebelum baru-baru meninggalkan kelab Catalan itu untuk menyertai revolusi bolasepak di China bersama Hebei FC.

Tengah: LUCAS LEIVA

Walaupun corak permainanya sering dilabel sebagai corak yang membosankan, Lucas menjadi fulkrum yang penting di bahagian tengah Liverpool, sepanjang masanya di Anfield. Dia merupakan hero yang jarang diberi pengiktirafan, tetapi penyokong Liverpool sudah mula merinduinya, selepas dia meninggalkan kelab tersebut untuk menyertai Lazio pada musim panas lepas.

Tengah: PHILIPPE COUTINHO

Tak perlulah kami mengulas tentang pemain ini. Impak yang ditinggalkan oleh Coutinho di Anfield memang cukup besar, sebelum dia berhijrah ke Barcelona bulan lepas. Coutinho oh Coutinho.

Penyerang: LUIS SUAREZ

82 gol dalam 133 penampilan bersama Liverpool - itu rekod Luis Suarez bersama pasukan Liverpool dari tahun 2011 sehingga 2014. Penyerang Uruguay itu hampir membantu Liverpool memenangi Liga Perdana Inggeris pada tahun 2013, sebelum melengkapkan perpindahannya ke Barcelona pada tahun 2014.

Penyerang: RAHEEM STERLING

Dari hero ke zero. Itu yang boleh diperkatakan tentang reputasi Raheem Sterling di kalangan penyokong Liverpool. Ketika dia mula beraksi untuk skuad utama Liverpool, Sterling diberi jolokan 'Wonderkid', tetapi jolokan tersebut ditarik semula apabila dia membuat keputusan untuk menyertai Manchester City pada tahun 2015.

Penyerang: FERNANDO TORRES

Ketika Fernando Torres bersama Liverpool, tidak mustahil untuk mengatakan bahawa dia merupakan antara penyerang terbaik di dunia. Selepas menjaringkan 33 gol dalam musim pertamanya di Anfield, Torres terus berkembang menjadi penyerang yang berbisa untuk kelab dan juga skuad kebangsaan Sepanyol. Namun seperti Sterling, dia turut menjadi musuh penyokong Liverpool setelah berpindah ke Chelsea pada Januari 2011.