Eropah Berita

Kami Gagal Mengekang Messi – Pochettino

Barcelona, yang berkunjung ke Stadium Wembley bagi menghadapi Tottenham pada saingan Liga Juara-Juara berjaya meraih kemenangan selesa, 4-2 awal pagi tadi.

Philippe Coutinho membuka tirai jaringan seawal minit kedua, sebelum Ivan Racitic menambah derita Spurs dengan gol kedua pada minit ke-28.

Messi menambah koleksi gol Barcelona apabila menjaringkan gol ketiga pada minit ke-56 sebelum tuan rumah berjaya merapatkan jurang gol dengan jaringan Harry Kane minit ke-52 dan Erik Lamela pada minit ke-66.

Messi yang sebelum itu dua kali percubaannya terkena tiang gol, memberi kemenangan mutlak kepada Barcelona apabila berjaya menjaringkan gol keempat pada minit-minit akhir perlawanan.

Sebelum itu, Barcelona menghadapi permulaan musim yang buruk apabila gagal meraih kemenangan pada tiga perlawanan liga.

“Selepas berdepan beberapa keputusan yang teruk, akhirnya kami berjaya meraih kemenangan penting hari ini. Kami bertindak balas dengan sangat bagus,” kata jurulatih Barca, Ernesto Valverde.

Barca kini mengetuai Kumpulan B dengan enam mata, mengatasi Inter Milan dan PSV Eindhoven. Manakala skuad Mauricio Pochettino gagal mengutip sebarang mata dalam dua perlawanan awal setakat ini.

Spurs bergelut untuk mengekang Messi menyebabkan mereka gagal untuk mencapai kemenangan.

 “Dia pemain menakjubkan,” kata Pochettino. “Dia menikmati prestasi yang cukup baik dalam perlawanan seperti ini. Dia sentiasa mengatasi segalanya,”