Malaysia Liga Super Malaysia

Coach Burn sedia tamatkan kontrak pemain import PKNP

Ketua jurulatih skuad PKNP, Abu Bakar Fadzim telah memberi amaran kepada barisan pemain importnya untuk meningkatkan prestasi dalam minggu-minggu akan datang jika tidak mahu kontrak mereka ditamatkan pada pertengahan musim nanti.

Meskipun berjaya meraih kemenangan ketika menentang Negeri Sembilan di perlawanan pertama, PKNP mengalami dua kekalahan berturut-turut selepas itu –  di tangan JDT dan juga di tangan Kedah. Kedua-dua perlawanan tersebut menyaksikan aksi yang cukup hambar daripada gandingan penyerang import mereka, Keo Sokpheng dan juga Yeon Gi Sung.

“Kami memilih Sokpheng dan Gi Sung kerana kedua-dua pemain itu sudah membuktikan gandingan mereka ketika sama-sama mewakili Phnom Penh Crown dalam Liga Kemboja, tahun lalu,” kata Abu Bakar Fadzim kepada Berita Harian

“Jadi soal keserasian atau persefahaman antara mereka sepatutnya tidak lagi menjadi masalah. Apatah lagi kedua-duanya memiliki rekod jaringan yang bagus ketika bersama kelab lama mereka. Kecuali ketika bertemu Negeri Sembilan, Sokpheng dan Gi Sung ternyata hilang punca dalam perlawanan menentang JDT (Johor Darul Ta’zim) dan Kedah.

“Setakat ini selepas tiga perlawanan, saya memang tidak berpuas hati dengan prestasi mereka kerana hanya mencapai 50 peratus daripada apa yang saya harapkan. Saya akan beri mereka peluang tapi jika masih tidak meningkat, saya terpaksa mengambil tindakan drastik dengan menamatkan kontrak mereka pada pertengahan musim nanti,” tambah bekas jurulatih Perak itu.

Untuk perlawanan Liga Super seterusnya, PKNP akan menerima kunjungan pasukan Kuala Lumpur, yang berjaya menewaskan Johor Darul Ta’zim baru-baru ini, di Stadium Batu Kawan pada 25 Februari akan datang.