Asia

Live Streaming Thai League 1: Buriram United vs Bangkok Glass

Kiko Insa dijangka akan diturunkan oleh Bangkok Glass FC malam ini, apabila mereka turun berdepan dengan gergasi bolasepak Thailand, Buriram United di Chang Arena malam ini.

Bekas pemain Pahang itu, yang menyertai Bangkok Glass beberapa minggu lepas, cukup teruja untuk menjadi satu-satunya pemain Malaysia yang bermain di Thailand pada musim ini dan tekad mahu membantu skuad Bangkok meraih satu piala musim ini.

“Dari segi individu, saya mahu bermain sebanyak mungkin untuk Bangkok Glass musim ini, dan membalas kepercayaan yang diletakkan di atas bahu saya. Tapi, saya juga mahu membantu Bangkok Glass untuk sekurang-kurangnya memenangi satu piala musim ini,” kata Kiko Insa kepada Football Tribe Malaysia.

Tetapi, kempen Liga Thai 1 mereka bermula dengan langkah negatif, selepas mereka tewas 0-1 di tangan Nakhon Ratchasima minggu lepas. Minggu ini pula, mereka berdepan dengan juara bertahan liga, Buriram United.

The Thunder Castles berjaya membuka kempen liga mereka dengan kemenangan tipis 2-1 ke atas Ratchaburi minggu lepas, sebelum menunjukkan aksi yang cukup cemerlang untuk seri 1-1 bersama Guangzhou Evergrande dalam saingan Liga Juara-Juara Asia pada 14 Februari lepas.

Itu bermakna skuad Buriram akan memasuki perlawanan ini dengan momentum yang cukup tinggi, sekaligus menjadikan pertembungan ini lebih sukar untuk Kiko Insa dan rakan sepasukannya di Bangkok Glass.

Lebih merisaukan adalah rekod Bangkok Glass setiap kali mereka turun menentang Buriram. Bangkok Glass hanya berjaya menewaskan Buriram satu kali daripada 10 perlawanan terakhir di antara kedua-dua pasukan, iaitu kemenangan tipis 2-1, musim lepas.

Namun, satu kelebihan yang dimiliki oleh anak buah Josep Ferre adalah tahap kecergasan mereka yang lebih positif, terutamanya apabila dibandingkan dengan skuad Buriram, yang terpaksa menempuh perjalanan jauh ke China untuk perlawanan Liga Juara-Juara Asia mereka di pertengahan minggu lepas.

Jika anda mahu menyaksikan perlawanan ini secara langsung, sila layari hyperlink di bawah!

SportsFix: Buriram United vs Bangkok Glass FC