Malaysia Liga Super Malaysia

Negeri Sembilan rampas tiga mata dari Kuala Lumpur, Nico Velez curi tumpuan

Kuala Lumpur terus kempunan mencari tiga mata pertama di Liga Super apabila tewas 2-0 kepada Negeri Sembilan menerusi jaringan Nicolas Velez pada minit ke 12 dan 31.

Kesilapan penjaga gol Kamarul Effandi dan serangan pantas Negeri Sembilan menghadiahkan tiga mata pertama kepada skuad Jang dalam pertembungan dua pendatang baru Liga Super 2018.

PERLAWANAN PERTAMA JUPE

Ketua Jurulatih Kuala Lumpur, Fabio Magrao menyenaraikan bekas pemain Persib Bandung, Achmad Jufriyanto dalam kesebelasan utamanya dan meletakkan pemain tengah Zhafri Yahya di bangku simpanan. Skuad City Boys terus mengharapkan gandingan Guilherme De Paula dan Paulo Josue untuk menembusi pertahanan Negeri Sembilan.

Bagi Negeri Sembilan pula, Jorge Steinerbrunner menukar formasi dari 4-4-2 ketika melawan PKNP kepada 4-3-3 dengan pemain Kemboja Prak Mony Udom beraksi di bahagian serangan bersama Khairul Izuan dan Nicolas Velez.

NEGERI SEMBILAN HUKUM KESILAPAN KL

Walaupun Kuala Lumpur menguasai bola, tetapi serangan pantas dan kesilapan penjaga gol Kuala Lumpur, Kamarul Effandi membolehkan Nicolas Velez menjaringkan dua gol untuk memberikan kelebihan kepada Negeri Sembilan pada separuh masa pertama.

Kuala Lumpur terus menguasai permainan pada separuh masa kedua, namun ketumpulan bahagian serangan yang diketuai Guilherme De Paula terus meranapkan harapan Kuala Lumpur untuk mencari jaringan pertama di Liga Super.

NICOLAS VELEZ CURI TUMPUAN

Walaupun terpaksa dikeluarkan pada separuh masa kedua akibat kecederaan, penyerang Negeri Sembilan dari Sepanyol, Nicolas Velez mencuri tumpuan selepas dua jaringan berharganya membantu Negeri Sembilan bangkit semula dari kekalahan kepada PKNP dalam perlawanan pertama.

KUALA LUMPUR BERDEPAN JUARA BERTAHAN

Kuala Lumpur akan menerima kunjungan juara bertahan Johor Darul Takzim ke Cheras pada hari Sabtu ini sementara Negeri Sembilan pula akan berkunjung ke negeri jiran mereka, Melaka United pada hari Ahad ini.