Ketua jurulatih Kedah, Ramon Marcote puas hati dengan persiapan pasukan Kedah untuk kempen Liga-M mereka setakat ini, selepas mereka berjaya menewaskan Pulau Pinang dalam aksi perlawanan persahabatan malam semalam.
Skuad Helang Merah akan membuka tirai Liga Super dengan perlawanan Piala Sumbangsih menentang Johor DT pada 3 Februari akan datang dan Marcote yakin bahawa akan anak buahnya, termasuk Pablo Pallares yang masih mencari rentak, akan bersedia untuk pertembungan tersebut.
“Meskipun dikritik teruk, Pablo menunjukkan prestasi yang cukup cemerlang sebagai seorang penyerang berbisa dengan memiliki corak serta kemahiran serangan yang tinggi,” kata Marcote kepada Arena Metro.
“Tidak dinafikan juga beberapa pemain lain seperti Liridon (Krasniqi), Sandro (De Silva) dan Baddrol (Bakhtiar) yang turut mempamerkan taring. Selepas ini, satu lagi perlawanan persahabatan akan diadakan menentang kelab Thailand, Suphanburi FC.
“Persiapan Kedah tidak akan terhenti begitu saja kerana kami bakal bertemu JDT bagi merebut Piala Sumbangsih pada 3 Februari,” tambah Marcote.
Lawan Kedah pada 3 Februari nanti, Johor DT pula kini berada di Bangkok untuk perlawanan kelayakan Liga Juara-Juara Asia. Mereka akan turun berdepan dengan Muangthong United malam esok.