Liga Premier Malaysia Berita

Pengurusan Perak FC mohon kerajaan negeri bantu RM2 juta, Menteri Besar minta maaf

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad mengakui ada menerima permohonan daripada pengurusan Perak FC untuk mendapatkan sebanyak RM2 juta bagi membantu melunaskan tunggakan pembayaran gaji pemain Perak FC.

Namun beliau mempunyai sebab tersendiri, apabila kekal dengan pendiriannya untuk tidak menyalurkan sebarang dana kerajaan negeri kepada pasukan Liga Premier itu.

“Saya minta maaf,” katanya kepada Bernama.

“Bukan saya tidak mahu masuk campur atau tidak berminat dengan bola sepak atau sukan.

“Saya minta mereka selesaikan ikut saluran yang betul, saya perlu berlaku adil kepada lain-lain persatuan sukan dan juga rakyat di negeri ini.

“Sekiranya RM2 juta itu kalau saya berbelanja RM200 untuk ketua isi rumah miskin, berapa ribu saya boleh bantu.”

Mengulas lanjut, Saarani berharap keputusannya itu dapat diterima dan difahami oleh pihak pengurusan serta peminat bola sepak negeri ini.

“Saya minta maaf, ia bukan bermakna saya tidak bersimpati tetapi saya ada tanggungjawab lain yang lebih besar.

“Saya bersimpati tapi saya kena berlaku adil pada golongan lain juga termasuk ketua isi rumah miskin, lagi-lagi bulan Ramadan ini.”