Steve Darby mengakui sering ditanya oleh pelbagai pihak mengapa skuad kebangsaan Malaysia gagal mempamerkan prestasi terbaik di kejohanan-kejohanan besar, sepanjang beliau berkhidmat sebagai jurulatih di Johor pada 1998, Perak pada 2005 dan Kelantan pada 2014.
Namun, ketika bercakap dengan Haresh Deol dalam rancangan Rembat bersama Graig Nunis di Football Tribe, beliau berkata, terdapat beberapa cara yang mampu meningkatkan kualiti skuad Harimau Malaya.
“Pertamanya, Malaysia perlukan liga yang kuat (kompetitif),” kata Darby.
“Kamu juga perlukan pusat latihan yang bagus, pemain terbaik perlu beraksi di luar negara.
“Kalau ikutkan, separuh daripada skuad kebangsaan perlu bermain di liga seperti K League atau J League, sama macam apa yang dilakukan oleh Thailand. Saya percaya Vietnam pun akan melakukan perkara yang sama, pemain terbaik mereka akan ke luar negara.
“Kalau tak berjaya, tak mengapa, dia akan jadi pemain yang lebih bagus, kerana menjadi seorang pemain import di luar negara, pengalaman itu mematangkan diri kita sebagai pemain, kamu akan dimaki dan dihina, kamu takkan dapat makanan yang sama seperti di Malaysia macam nasi lemak, tetapi ia akan membuatkan kamu menjadi pemain yang lebih baik.
“Jadi, pemain yang bagus perlu bermain di luar negara, kerana bila dia balik wakili negara, bukan sahaja dia jadi pemain yang lebih bagus, tetapi dia akan kuatkan lagi skuad negara.”
Pada masa sama, beliau juga menasihatkan pasukan Liga Malaysia supaya memastikan mereka membawa masuk pemain yang lebih berkualiti daripada pemain tempatan.
“Pemain import mesti lebih bagus daripada pemain tempatan, mereka dibayar gaji lebih tinggi dan lebih ramai yang akan menonton perlawanan. Masih ingat Bambang Pamungkas? Dia bawa sejumlah besar penonton ke Shah Alam, begitulah kualiti yang ada padanya.
“Kalau ada lima pemain import tapi tiga sahaja yang bermain bagus, itu sudah membazir duit, tapi kalau nak bayar pemain import lebih murah dari pemain tempatan, itu pun kerja gila.
“Kalau pasukan itu ada pemain import yang besar dan tinggi lampai, main sebagai penyerang, penyerang tempatan pula tak dapat peluang, pemain tengah akan berhenti bermain dengan baik kerana cara permainan perlu berubah hanya kerana penyerang import. Akhirnya mereka akan berebut bola dan menghantar kepada penyerang import untuk jaringkan gol.”
Dalam pada itu, Darby mengakui sebagai jurulatih asing di Malaysia, beliau merasakan penting untuk mempelajari bahasa Melayu untuk melatih pemain-pemain tempatan.
“Jadi, saya mula belajar bahasa Melayu di Johor, ada beberapa pemain yang pandai cakap bahasa Inggeris, tapi tak semua. Dari segi untuk melatih lebih efektif, saya perlu belajar.
“Individu yang mula mengajar saya bahasa Melayu adalah P Ramlee. Dia cakap bahasa Melayu dengan cukup bagus, saya belajar setiap kali dalam perjalanan untuk perlawanan.
“Dulu-dulu kita tak naik kapal terbang, dulu kita hanya naik bas yang makan masa 14 jam untuk ke Pahang, Terengganu dan Kelantan.
“Salah seorang pegawai pasukan tanya saya, saya suka ke dengan pemandangan ketika dalam bas, saya kata, sepanjang tempoh 14 jam itu saya hanya nampak pokok sawit, semuanya untuk minyak sawit.
“Jadi masa itu, saya dan satu pasukan menonton filem-filem P Ramlee macam Ali Baba, Doremi. Pemain-pemain pun ajar saya perkataan makan, tidur, main-main, jalan-jalan, cuci mata, semua perkataan penting.
“Saya masih berhubungan dengan pemain saya di serata dunia, juga melalui media sosial, saya dapat tahu Kelantan pecat saya pun di Facebook.
“Tapi saya terus belajar bahasa Melayu. Masa saya di Kelantan, seorang wanita cantik bernama Mazita minta saya belajar bahasa Melayu dengan tatabahasa yang betul, sebab itu saya boleh terus berhubungan dengan dia dan juga para pemain.”