Malaysia Berita

Ibu masuk hospital, Baddrol Bakhtiar jadikannya sebagai pembakar semangat

Baddrol Bakhtiar berasa berbelah bahagi menjelang perlawanan pembukaan Sukan Asia 2018.

Manakan tidak, Baddrol berlepas ke Jakarta semalam dengan berat hati setelah mendapat berita ibunya, Siti Rokibah Najamudin terpaksa menjalani pembedahan buah pinggang di salah sebuah hospital di Sungai Petani, Kedah.

Namun, beliau tetap memberikan fokus sepenuhnya kepada temasya Sukan Asia.

“Saya perlu kekal fokus kerana tugas berat menanti kami di Indonesia. Tidak dinafikan, ming­gu ini agak sukar untuk saya kerana ibu perlu menjalani pembedahan buah pinggang selepas menjalani rawatan dialisis,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Beliau juga berasa sedikit terkilan kerana tidak dapat bersama-sama me­nyambut hari ulang tahun kedua anak sulungnya, Dhiya Delisha semalam kerana perlu berlepas ke Indonesia.

“Hari ini (semalam) juga adalah hari jadi anak sulung saya.

“Walau bagaimanapun, saya tidak mahu menjadikan perkara ini semua sebagai halangan sebaliknya saya akan menjadikannya sebagai pembakar semangat dan motivasi untuk mengharungi Sukan Asia. Saya mahu tunjukkannya kepada ibu dan keluarga.

“Memang sasaran individu saya mahu bermain dalam Sukan Asia kerana ini merupakan kali pertama saya membuat penampilan dalam temasya ini.

“Impian saya adalah membawa pasukan ke pusingan kalah mati dan kalau ada rezeki ke suku akhir,” katanya.

Selain berdepan dengan tekanan peri­badi, Baddrol perlu mengharungi dua perlawanan dalam tempoh tiga hari apabila Malaysia dijadual bertemu Kyrgyzstan dalam perlawanan pembukaan Kumpulan E hari ini dan Korea Selatan pada Jumaat ini.

Justeru itu, pemain berusia 30 tahun itu menggesa rakan sepasukannya agar cuba mengelakkan diri daripada mengalami kecederaan.

“Saya harap setiap pemain dapat elak daripada ditimpa kecederaan sebab jika dua atau tiga orang cedera, jurulatih akan berdepan kesukaran untuk me­rangka strategi dan taktikal pasukan,” katanya.