Malaysia Berita

Harimau Malaya tolak adakan perlawanan dengan India

Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Mohd Yusoff Mahadi mengakui pihaknya membuat keputusan menolak jemputan India untuk mengadakan perlawanan persahabatan pada jendela antarabangsa hujung tahun ini.

Katanya, keputusan itu terpaksa dibuat memandangkan kes Covid-19 di negara itu masih tinggi.

“Ada beberapa negara mahu mengadakan aksi persahabatan dan salah satu daripadanya India,” katanya kepada Harian Metro.

“Tapi mungkin kita tak dapat langsungkannya kerana kes di negara terbabit tinggi selain varian Covid-19 yang bahaya.”

Bagaimanapun, FAM tetap merancang untuk mengadakan perlawanan persahabatan pada tahun ini.

Katanya, ia sebagai persiapan pasukan menjelang Piala AFF serta memperbaiki kedudukan ranking sebelum undian pusingan ketiga Kelayakan Piala Asia hujung tahun ini.

Namun segala perancangan itu belum dimuktamadkan lagi memandangkan skuad kebangsaan perlu berdepan dengan pelbagai prosedur operasi standard (SOP) yang ketat seperti kuarantin 14 hari selepas pulang dari luar negara.

“Kita mahu mengadakan aksi persahabatan tetapi semuanya bergantung kepada pihak pengurusan nanti,” kata Yusoff.

“Mungkin mudah untuk kita ke luar negara tapi apabila balik kita kena kuarantin selama 14 hari, di mana ia mungkin mengganggu saingan liga pula nanti.

“Kalau pasukan luar pula yang nak main di sini, mereka kena kuarantin juga, jadi itu semua bukan mudah. Tapi kita tetap akan mengadakan latihan pusat dan kem latihan dalam waktu itu.

“Kita akan cari jalan terbaik dan solusi untuk selesaikannya dan harap ada perlawanan persahabatan untuk menguji pasukan.”