Berita AFC Cup

Perlawanan Piala AFC melibatkan Kedah dan Terengganu dibatalkan

Jawatankuasa pertandingan AFC membuat keputusan untuk membatalkan perlawanan bagi saingan Piala AFC zon Asia Tenggara dan Asia Selatan musim 2021.

Dalam satu kenyataan rasmi, AFC memaklumkan bahawa mereka terpaksa membuat keputusan itu selepas mengambil kira keadaan semasa penularan Covid-19 yang semakin buruk di rantau ini.

Bagaimanapun, Piala AFC akan diteruskan tanpa penyertaan pasukan dari Asia Tenggara dan Asia Selatan.

“Jawatankuasa AFC telah bersetuju untuk mengekalkan struktur keseluruhan pertandingan yang akan menyaksikan hanya enam daripada 10 kumpulan yang akan meneruskan pertandingan tersebut.

“Mereka yang berada dalam kumpulan yang terlibat dengan pandemik Covid-19 akan menyaksikan perlawanan mereka dibatalkan dan diakui sebagai peristiwa ‘force majeure’.

“Ia melibatkan kumpulan D, G, H dan I iaitu dari zon Asia Selatan dan Asean sekali gus menyaksikan Terengganu dan Kedah tidak dapat bermain namun mereka tidak akan dikenakan denda atau lesen AFC digantung.”

Piala AFC bagi kumpulan H dan I dijadualkan berlangsung pada akhir Jun 2021 namun keadaan menjadi kelam-kabut apabila Persatuan Bolasepak Singapura (FAS) membuat keputusan untuk menarik diri daripada menjadi tuan rumah dua hari sebelum perlawanan bermula.

FAS membuat keputusan itu dengan alasan situasi Covid-19 yang tidak dijangka di rantau ini sekali gus pergerakan dari satu tempat ke satu tempat adalah satu perkara yang mencabar buat pasukan dari luar.

AFC kemudian menunda kesemua perlawanan zon Asia Selatan bagi mencari pihak yang berminat untuk menjadi tuan rumah, bagaimanapun tiada pasukan yang menawarkan diri untuk menjadi tuan rumah.

Pembatalan Piala AFC itu juga menyaksikan Kedah dan Terengganu tidak akan menyertai sebarang kejohanan di peringkat antarabangsa tahun ini dan akan meneruskan saingan Liga Super musim ini.