Johor Darul Ta’zim (JDT) akhirnya tersingkir dari Liga Juara-Juara Asia (ACL) musim 2021 selepas tewas 2-1 kepada Nagoya Grampus malam tadi.
Di sebalik kekalahan itu, JDT mempamerkan aksi yang baik apabila menjadi pasukan pertama yang menembusi gawang gol pasukan dari Jepun itu.
Benjamin Mora membuat rombakan besar-besaran apabila menukar 10 daripada 11 pemain yang tewas kepada Pohang Steelers sebelum ini.
Ahmad Hazwan Bakri dan penjaga gol, Haziq Nadzli buat pertama kali beraksi dalam saingan ACL.
Syamer Kutty Abba, Leandro Velazquez dan Nazmi Faiz Mansor beraksi di bahagian tengah.
Ramadhan Saifullah dan Akhyar Rashid menggantikan Safawi Rasid dan Arif Aiman.
S Kunanlan menggantikan Matthew Davies, Mauricio kembali memperkuatkan bahagian pertahanan manakala Adam Nor Azlin menggantikan Aidil Zafuan.
Namun ketika perlawanan baru masuk minit ketiga, Nogaya Grampus dihadiahkan sepakan penalti selepas Adam Nor Azlin menjatuhkan Mateus Castro.
Mateus mudah menjaringkan gol pendahuluan apabila merembat bola ke penjuru kiri sedangkan Haziq merebahkan badan ke sebelah kanan.
Nagoya menggandakan jaringan menerusi Hiroyuki Abe pada minit ke-28.
Ketika separuh masa pertama berbaki tiga minit, JDT akhirnya berjaya merapatkan jurang menerusi serangan balas yang disudahkan dengan rembatan Ramadhan Saifullah.
JDT hampir menyamakan kedudukan pada minit ke-61 apabila Adam menghantar bola tepat kepada Velazquez yang bertindak merembat bola kencang tetapi malangnya hanya terkena palang.
Keputusan 2-1 kekal hingga tamat perlawanan, menyaksikan JDT mencatatkan empat kekalahan daripada lima perlawanan dengan hanya mengutip tiga mata.
JDT akan menamatkan kempen ACL 2021 dengan perlawanan bertemu Ratchaburi, Rabu ini.