Benjamin Mora tetap berasa bangga dengan pemain JDT meskipun mengalami empat kekalahan dan hanya meraih satu kemenangan dalam saingan ACL 2021.
Bagaimanapun, JDT hanya tewas tipis 2-1 kepada Nagoya Grampus.
“Semangat juang pemain begitu tinggi dalam perlawanan itu,” katanya kepada Berita Harian.
“Ia membanggakan saya walaupun kami ketinggalan 0-2 namun pemain tidak panik sebalik berusaha bangkit dengan mengawal perlawanan dan cuba memburu gol.
“Kami lakukan rombakan kecil terhadap pemain utama supaya mereka pulih daripada kepenatan untuk aksi terakhir berdepan Ratchaburi FC dan apa yang saya bangga, pemain yang diturunkan menunjukkan persembahan terbaik pada aksi menentang kelab dari Jepun itu.
“Mereka beri yang terbaik apabila kerap berlari sambil mengawal perlawanan dan kerap beri tekanan terhadap lawan yang tampak tidak senang duduk untuk mengekang asakan pemain JDT malah kami agak kecewa selepas dua percubaan yang mampu menghadirkan gol sekadar singgah di palang gol.”
Justeru, beliau berharap JDT dapat mencatatkan keputusan positif berdepan Ratchaburi esok.
“Walaupun sudah tertutup peluang ke pusingan 16 terbaik, saya memberitahu pemain keputusan perlawanan bukan keutamaan mengenai apa yang perlu kita lakukan di padang, sebaliknya pemain harus bangkit dan buktikan keupayaan malah perlu bersaing dengan diri sendiri.
“Saya juga tekankan pemain harus bersikap konsisten dan mantap apabila beraksi di padang untuk terus berjuang dan hasilnya mereka mampu menyaingi kehebatan kelab dari Jepun dan ia beri kesan positif terhadap pemain.”