Liga M3 Berita

Ada pasukan Liga M3 langsung tak bayar gaji sejak bulan Januari

Ada pasukan yang tidak dapat gaji disebabkan penangguhan liga kerana wabak COVID-19, namun ada juga pasukan Liga M3 yang didapati masih tidak dapat bayaran gaji langsung walaupun liga sudah bermula sejak bulan Januari.

Malah, perintah kawalan pergerakan dan penangguhan liga memburukkan lagi keadaan apabila penaja berdepan kesukaran untuk membayar gaji pemain dan barisan kejurulatihan pasukan itu.

“Sebenarnya tunggakan gaji sejak dari awal liga lagi, namun sepanjang saya bersama pasukan, mereka tidak pernah membayar gaji dan tunggakan sudah memasuki tiga bulan bermula Januari, Februari dan Mac,” kata sumber kepada BH Sukan.

“Pengurusan menjelaskan mereka sedang berusaha mencari dana dan menunggu duit daripada penaja tetapi dengan situasi sekarang, kita terpaksa faham sekiranya penaja tidak mampu memenuhi komitmen mereka buat masa ini.

“Apa lagi yang boleh kami buat selain daripada sekadar menunggu. Lebih kasihan ada pemain yang bergantung harap kepada gaji ini semata-mata kerana tiada pekerjaan lain, jadi memang situasi ini memberi beban kepada mereka.

“Saya mengharapkan pengurusan tidak memandang ringan isu tunggakan gaji yang perlu diselesaikan.

“Saya rasa sebahagian besar pasukan Liga M3 dan M4 pun berdepan masalah sama ketika ini.”