Liga Super Malaysia Berita

Mora: Tak salah Safawi mahu jaringkan panenka

Ketua jurulatih Johor Darul Ta’zim (JDT), Benjamin Mora tampil mempertahankan Safawi Rasid, meskipun pemainnya gagal menyempurnakan penalti dengan sepakan panenka ketika menewaskan Sabah FC 3-0 dalam saingan Piala Malaysia.

Sepakannya itu menjadi tular di media sosial sehingga menjadi bahan jenaka sesetengah peminat.

Namun bagi Mora, Safawi seorang pemain yang berani kerana sudi mengambil risiko untuk menggunakan kemahiran yang tinggi.

“Ketika Safawi mengambil keputusan untuk berbuat demikian, saya menyokong tindakannya,” kata Mora selepas perlawanan.

“Pasukan sudah mendahului 2-0 dengan permainan berbaki lima minit, jika bukan waktu itu, bila lagi masa yang sesuai.

“Ini bola sepak, ada masanya pemain mahu berseronok, memberikan sesuatu yang istimewa kepada penonton. Sudah tentu dia perlu bertanggungjawab sepenuhnya, namun saya tak salahkan dia.

“Bagi saya, dia melakukan tugas yang baik mencuba sesuatu yang baru. Saya suka pemain yang sanggup mengambil risiko dan peluang melakukan perkara yang luar biasa.”

JDT yang sudah layak ke pusingan suku akhir Piala Malaysia akan bertemu PJ City di Kelana Jaya pada Sabtu, 6 Nov diikuti dengan Kelantan di Kota Bharu pada 9 Nov untuk melengkapkan jadual peringkat kumpulan D.

Perlawanan suku akhir pertama akan berlangsung pada 14 Nov, dengan suku akhir kedua pada 18 Nov.

Pusingan separuh akhir pertama akan bermula pada 22 Nov diikuti dengan separuh akhir kedua pada 26 Nov.

Perlawanan akhir Piala Malaysia edisi ke-100 tahun ini akan berlangsung pada 30 Nov ini.