
Johor Darul Ta’zim muncul juara Liga Super kali ke-9 apabila menewaskan Negeri Sembilan 4-0 di Stadium Sultan Ibrahim malam ini.
Ini merupakan trofi ke-21 yang dimenangi JDT sejak pengambilalihan Tunku Ismail Sultan Ibrahim pada 2013.
JDT juga memenangi liga 3 kali berturut-turut sebanyak 3 kali, sekali gus digelar sebagai juara triple hatrik.
Kejuaraan itu dikecapi dengan baki 4 perlawanan liga apabila JDT meraih 46 mata manakala Sabah yang tewas 2-0 kepada Terengganu meraih 36 mata.
JDT juga mencatatkan 14 kemenangan, 4 seri tanpa sebarang kekalahan dalam liga.
Keputusan itu bermakna JDT tidak boleh diatasi oleh Sabah walaupun memenangi 3 perlawanan terakhir.
Kemenangan itu disambut dengan gilang-gemilang oleh puluhan ribu penyokong JDT yang hadir bagi menyaksikan trofi liga dijulang sekali lagi.
JDT mendahului pada minit ke-35 menerusi rembatan Arif Aiman hasil hantaran Leandro Velazquez.
Leandro sekali lagi menghantui Negeri Sembilan apabila menjaringkan sepakan percuma pada minit ke-38, menewaskan penjaga gol negara, Syihan Hazmi.
Arif menambah gol ketiga buat JDT setelah berjaya merampas bola daripada pertahanan Negeri Sembilan pada minit ke-49.
JDT semakin selesa apabila Bergson menyumbat masuk gol hasil hantaran Arif pada minit ke-60.
Bergson melengkapkan kemenangan apabila menjaringkan gol ke-5 hasil hantaran Mohamadou Sumareh pada minit ke-87.
Ia juga merupakan gol ke-24 yang dijaringkan oleh Bergson dalam Liga Super musim ini.