Luar Negara Eropah

Jamie Carragher mohon maaf kerana meludah selepas diprovokasi

Bekas pemain Liverpool dan pengulas bolasepak, Jamie Carragher memohon maaf ekoran tindakannya meludah ke arah seorang budak perempuan selepas diprovokasi ekoran kekalahan Liverpool kepada Manchester United Sabtu lalu.

Carragher menerusi laman Twitter peribadinya telah menyatakan bahawa dia telah memohon maaf secara peribadi kepada keluarga berkenaan pada hari Ahad lalu.

“Memang di luar kawalan dan saya telah memohon maaf secara peribadi kepada semua keluarganya terhadap apa yang berlaku malam tadi. Saya telah diganggu 3-4 kali sepanjang jalan sambil dirakam dan hilang kesabaran. Saya memang perlu meminta maaf.”

Dalam video berkenaan, Carragher dilihat melambai kepada bapa kanak-kanak berkenaan. Kemudian Carragher dan bapa kanak-kanak itu menurunkan cermin tingkap kereta mereka. Ketika itu dapat didengari bapa kanak-kanak itu menjerit: “Malang sekali Jamie. Dua, satu.”

Ketika itu, Carragher dilihat telah hilang kesabaran dan meludah ke arah kereta itu dan terkena anak perempuan lelaki tersebut yang duduk di bahagian tempat duduk penumpang.

Ekoran tindakannya itu, ramai peminat memohon agar Skysports mengenakan tindakan kepada Carragher dan mereka telah membuat kenyataan bahawa Carragher akan dipanggil untuk membincangkan insiden berkenaan.

Sebelum ini, seorang pengacara Skysports, Richard Keys terpaksa meninggalkan stesen tv berkenaan selepas membuat komen berbaur seksis terhadap pengadil wanita, Sian Massey di luar rakaman.