Malaysia Kajian & Analisis

BEST XI Liga Super Malaysia (Matchday 5): Nor Hakim, Faris Ramli jadi sandaran di posisi sayap

Enam perlawanan menakjubkan berlangsung pada Matchday 5 Liga Super Malaysia, termasuk kemenangan Johor Darul Ta’zim ke atas Terengganu, yang sah meleburkan rekod tanpa kalah skuad Penyu. Selain itu, Perak turut tampil dengan aksi yang cemerlang untuk menumpaskan Selangor di Lumut, manakala Pahang mula menewaskan Negeri Sembilan 4-0 di Kuantan.

Penyokong di Stadium Cheras disajikan dengan tujuh gol, selepas Kuala Lumpur membuat ‘comeback’ untuk mengalahkan Kedah 4-3. Melaka United mendapatkan tiga mata penuh menentang PKNP di Stadium Hang Jebat, dan PKNS pula terus meneruskan rentak positif mereka dengan kemenangan ke atas skuad Kelantan.

Berikut adalah pilihan kami untuk Kesebelasan Terbaik Liga Super Malaysia – Matchday 5

FORMASI: 3-4-3

Penjaga Gol: FARIZAL MARLIAS (Johor Darul Ta'zim)

Farizal tampil dengan aksi yang cemerlang untuk membantu JDT meraih kemenangan berharga di Kuala Terengganu pada malam Sabtu lepas. Dia membuat beberapa tepisan penting, termasuk satu yang menghalang Kipre Tchetche daripada menyamakan kedudukan bagi skuad Penyu

Pertahanan: SHAHRUL SAAD (Perak)

Tonggak pertahanan ini cukup kental untuk Perak dan berjaya mengekang Rufino Segovia sepanjang 90 minit. Malah, dia turut mencatat satu assist apabila berjaya membuat hantaran jauh yang memberi peluang kepada Gilmar untuk menjaringkan gol ketiga Perak.

Pertahanan: MARCOS ANTONIO (Johor Darul Ta'zim)

Beberapa minggu lepas, ramai yang berkata Marcos Antonio mungkin akan mengambil masa mencari rentak. Namun, dia terus membuktikan kemampuan dan kepentingannya kepada JDT dengan gol tunggal di Kuala Terengganu tempoh hari.

Pertahanan: RODNEY CELVIN (PKNS FC)

Kelantan bermain dengan empat penyerang ketika menentang PKNS pada malam Jumaat lepas, tetapi gagal menjaringkan sebarang gol. Mengapa? Gandingan di antara Rodney Celvin dan Zac Anderson. Rodney, terutamanya, menunjukkan tahap kematangan yang cukup tinggi di atas padang dan dijangka akan menerima panggilan ke dalam skuad kebangsaan Malaysia dalam masa terdekat.

Tengah: SAFUWAN BAHARUDDIN (Pahang)

Walaupun jentera serangan Pahang mencuri tumpuan ramai di Kuantan pada malam Sabtu lepas, Safuwan Baharuddin memainkan peranan yang cukup penting dalam memastikan skuad Dollah berjaya mendominasi tempo perlawanan di bahagian tengah. Pahang bukan sahaja meledak empat gol dan meraih tiga mata berharga, malah mereka turut berjaya mencatat 'clean sheet'.

Tengah: ZAQUAN ADHA (Kuala Lumpur)

Walaupun sering digunakan sebagai pemain sayap atau di bahagian attacking midfield, Zaquan Adha bermain sebagai penyerang kedua di belakang Guilherme de Paula ketika menentang Kedah. Hasilnya? Dia menjaringkan gol pembukaan KL, dan turut membantu mereka mendapatkan satu sepakan penalti.

Sayap Kiri: FARIS RAMLI (PKNS FC)

Sekali lagi, Faris Ramli menjadi hero PKNS di Stadium Shah Alam. Pemain sayap yang berasal daripada Singapura ini jelas pemain terbaik di atas padang apabila skuad Rajagobal turun menentang Kelantan pada hari Jumaat lepas, dan berjaya menjaringkan gol kemenangan untuk PKNS. Bukan mustahil untuk mengatakan bahawa Faris mungkin pemain import ASEAN terbaik di Liga Super setakat ini.

Sayap Kanan: NOR HAKIM HASSAN (Perak)

Nor Hakim adalah pemain yang memaksa Durakovic menyimpan bintang Filipina, Misagh Bahadoran di bangku simpanan dan hakikat itu tidak boleh diperkecilkan. Pada malam Ahad, bekas pemain T-Team itu terus membuktikan kemampuannya dengan persembahan yang bertenaga di bahagian sayap, dan turut terlibat dalam gol kedua yang dijaringkan oleh Perak.

Penyerang: PATRICK CRUZ (Pahang)

Bekas penyerang T-Team ini sudah mula menunjukkan kerasian dengan rakan sepasukannya, biarpun hanya turun beraksi di pentas Liga Super buat kali kedua pada hari Sabtu. Dia membantu Pahang menewaskan Negeri Sembilan dengan dua gol cantik.

Penyerang: YAHOR ZUBOVICH (Melaka United)

Meskipun Melaka United dilabel sebagai pasukan 'underdog', mereka kini berada di tangga ke-4, selepas menewaskan PKNP 2-0 malam semalam. Yahor Zubovich menjadi hero Melaka di Stadium Hang Jebat dengan dua gol cantik, dan hampir berjaya menjaringkan hat-trick, jika percubaannya pada pertengahan babak kedua tidak diselamatkan oleh Bryan See.

Penyerang: FRANCIS FORKEY DOE (Pahang)

Tidak kira mana-mana pasukan Malaysia yang disertainya, Francis Forkey Doe tetap menjanjikan jaringan gol. Sabtu lepas, Forkey Doe terus meningkatkan rekod jaringannya di Malaysia, dengan dua lagi gol untuk membantu Pahang meraih kemenangan 4-0 ke atas skuad Hobin Jang Hobin.

Anda setuju dengan Best XI pilihan Football Tribe Malaysia? Sila kongsikan pendapat anda di ruang komen laman Facebook kami!