Malaysia Kajian & Analisis

Analisis: Falsafah agresif Durakovic bunuh Red Giants, apa peranan Ilham Udin di Selangor

Perak berjaya meneruskan rentak positif mereka musim ini selepas meraih kemenanga bergaya 3-1 ke atas Selangor di Stadium TLDM Lumut malam semalam. Tiga gol yang dijaringkan di separuh masa pertama membantu mereka membunuh momentum Red Giants dengan efektif, sekaligus membenarkan skuad Durakovic bermain dengan konservatif pada babak kedua untuk memelihara tenaga dan mencatat clean sheet kedua mereka di pentas Liga Super.

Kemenangan ini bermakna Perak kini berada di tangga keenam dengan tujuh mata daripada lima perlawanan pertama mereka, manakala Selangor pula berada di tempat kelapan dengan enam mata.

Berikut adalah beberapa perkara yang kami perhatikan ketika perlawanan yang berlangsung malam semalam:

FALSAFAH AGRESIF YANG DITERAPKAN OLEH DURAKOVIC

Setiap skuad yang dikendalikan oleh Mehmet Durakovic selalunya nampak seimbang di atas padang, tetapi malam semalam, Durakovic mengarahkan para pemainnya untuk bermain dengan cukup agresif dari minit pertama. Perak menekan barisan tengah dan pertahanan Selangor tanpa henti, dan itu membantu mereka melancarkan serangan demi serangan pada separuh masa pertama. Selepas terkena tiang seawal minit ke-2, Perak berjaya membuka tirai jaringan pada minit ke-20, sebelum menjaringkan gol kedua dan ketiga dalam 25 minit seterusnya. Corak ini seakan melemaskan segala usaha Selangor untuk menstabilkan tempo perlawanan sepanjang babak pertama.

ASHMAWI DIBULI OLEH GILMAR

Ketiadaan Razman Roslan dan Alfonso de Cruz memaksa P. Maniam menurunkan Ashwami Yakin di Stadium TLDM Lumut malam semalam dan pemain berusia 24 tahun itu mengalami 90 minit yang cukup sukar, terutamanya pada babak pertama. Penyerang Perak, Gilmar mendominasi setiap pertempuran dengan Ashmawi, dan menggunakan kekuatan fizikal untuk menewaskan pertahanan Selangor itu, setiap kali mereka berentap untuk mendapatkan bola. Lihat semula gol ketiga Perak yang dijaringkan oleh Gilmar – itu contoh terbaik.

WILLIAM PACHECHO TIDAK GEMBIRA DI SELANGOR?

Sepanjang perlawanan semalam, ‘body language’ yang ditunjukkan oleh William Pachecho amat negatif. Dia bukan sahaja gagal menangani serangan bertubi-tubi yang dilancarkan oleh Selangor, malah sering menggeleng kepala dan membuat terjahan-terjahan yang bahaya. Akibatnya, dia diberikan kad merah pada penghujung babak kedua dan sekaligus memaksa Selangor bermain dengan 10 pemain untuk baki perlawanan. Tetapi, ini bukan situasi yang aneh kerana Pachecho masih nampak tidak selesa di bahagian pertahanan Selangor selepas lima perlawanan Liga Super. Biarpun menduduki tempat kelapan di pentas Liga Super, Selangor mempunyai rekod defensif kedua terburuk, selepas membolos 11 gol dalam lima perlawanan.

NOR HAKIM HASSAN LAYAK DIBERI PANGGILAN HARIMAU MALAYA

Gilmar, Leandro Dos Santos, Wander Luiz – ini adalah nama beberapa pemain Perak yang mencuri tumpuan di Lumut malam semalam. Tetapi ada satu lagi nama yang nampak lebih bahaya dan konsisten sepanjang 90 minit, iaitu Nor Hakim Hassan. Bekas pemain sayap T-Team itu terus dipilih beraksi di kesebelasan pertama, berbanding bintang Filipina, Misagh Bahadoran, dan Norhakim tidak mengalami sebarang kesusahan untuk membuktikan dirinya di atas padang. Dia bukan sahaja laju dan lincah, malah turut bijak mencari ruang dan mempunyai visi untuk membuat hantara jauh kepada rakan sepasukannya. Ini merupakan perlawanan kedua berturut-turut, di mana Nor Hakim bermain dengan cemerlang, selepas turut membantu Perak menewaskan Sarawak dalam saingan Piala FA minggu lepas. Berdasarkan prestasi semasa, Nor Hakim layak diterapkan ke dalam skuad kebangsaan Malaysia untuk perlawanan persahabatan menentang Mongolia.

BERI PELUANG KEPADA ILHAM UDIN

P.Maniam gemar menggunakan Ilham Udin sebagai pemain simpanan dan keputusan itu agak mengelirukan kerana setiap kali Ilham diturunkan, dia menunjukkan aksi yang cukup bertenaga. Apa sebab Ilham tidak diturunkan dalam kesebelasan pertama? Sebagai contoh, tenaga Ilham mungkin dapat membantu Selangor menangani tekanan agresif yang diberikan oleh pemain Perak, terutamanya di bahagian sayap kerana Syahmi Safari jelas mengalami kesusahan untuk berdepan dengan Nor Hakim Hassan. Hakikatnya adalah, Ilham Udin merupakan antara bintang muda terbaik di Indonesia dan P. Maniam perlu mencari jalan untuk menggunakan pemain ini dengan efektif. Sebagai permulaan, mungkin wajar untuk Selangor beri Ilham lebih peluang beraksi di kesebelasan pertama?