Liga Super Malaysia Berita

Pemain Kedah terima gaji bulan Julai

Kesemua pemain dan pegawai pemain Kedah disahkan menerima gaji bulan Julai, selepas lima bulan menanti.

Presiden KFA, Muhammad Sanusi Md Nor memberi jaminan bahawa kesemua tunggakan gaji akan diselesaikan pada musim ini.

“KFA telah menyelesaikan sebahagian tunggakan gaji dengan bayaran gaji bagi Julai telah dimasukkan ke akaun mereka, hari ini (semalam),” katanya kepada Bernama.

“Saya beri jaminan bahawa semua masalah ini akan diselesaikan pada musim ini, itu janji saya.

“Saya juga telah membuat rundingan bersama Kumpulan Wang Simpanan Pekerja bagi menyusun semula jadual pembayaran caruman mereka yang tertunggak sejak 2019.”

Semalam, Sanusi mengadakan pertemuan bersama pasukan dalam satu majlis makan malam sebagai tanda penghargaan terhadap komitmen yang diberikan, serta memohon maaf terhadap tunggakan gaji yang dihadapi ketika ini.

Pada masa sama, Sanusi mendedahkan pihaknya sedang giat mengadakan rundingan bersama penaja musim ini yang masih belum melunaskan bayaran seperti dipersetujui dalam kontrak yang ditandatangani sebelum ini.

“Kita berusaha untuk terus mencari penaja dan penyumbang yang boleh membantu pasukan.

“Buat masa ini, penaja yang telah menandatangani kontrak pada musim ini akan memulakan pembayaran namun bukan dalam kuantiti penuh dan kita faham, mungkin mereka turut terjejas akibat wabak COVID-19.”

Kapten pasukan Baddrol Bakhtiar yang mewakili barisan pemain berterima kasih atas usaha pengurusan baharu Kedah FA untuk menyelesaikan isu gaji pemain.

“Ini merupakan khabar gembira buat kami dan presiden jelas hanya fokus untuk menyelesaikan masalah ini.”