Malaysia Berita

Kelayakan Piala Dunia ditunda: Ini pandangan Tan Cheng Hoe

Keputusan AFC untuk mengikut langkah FIFA dengan menunda kesemua perlawanan kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 pada tahun ini sudah tentu mengecewakan para peminat.

Namun, jurulatih skuad kebangsaan Tan Cheng Hoe berpandangan keputusan itu adalah bersesuaian dengan situasi semasa, berbanding memaksa semua pihak untuk beraksi dalam jadual yang padat.

“Kalau dilihat kita tak ada perlawanan-perlawanan yang kompetitif sejak beberapa bulan ini,” katanya kepada Sinar Harian.

“Tiba-tiba pada Ogos dan awal September tiba-tiba ada jadual padat dalam Liga Malaysia, kemungkinan pemain-pemain tidak bersedia dari segi mental dan fizikal.

“Jadi bagi saya, penangguhan perlawanan tahun ini adalah satu berita yang baik.”

Berdasarkan kenyataan AFC, pihaknya akan terus memantau perkembangan wabak COVID-19 sebelum menentukan tarikh-tarikh baharu perlawanan yang dijadualkan berlangsung pada 2021.

Pada masa sama, Cheng Hoe juga berpandangan penundaan tersebut berkemungkinan akan menyebabkan perlawanan persahabatan tidak dapat diadakan.

Ini memberi peluang kepada MFL untuk menyusun semula jadual Liga Malaysia.

“Perkara itu terpulang kepada MFL untuk menyusun jadual kerana kemungkinan besar, pasukan kebangsaan tidak boleh adakan perlawanan persahabatan.

“Jadi saya menyokong apa sahaja keputusan yang dikeluarkan oleh MFL.”

Sementara itu, Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Stuart Ramalingam berkata status perlawanan persahabatan untuk skuad kebangsaan akan ditentukan dalam masa terdekat.

“Kita akan bincangkan perkara ini dengan lebih mendalam bersama Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin; Timbalan Presiden FAM, Datuk Mohd Yusoff Mahadi dan pengendali Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe bagi memastikan persiapan pasukan berjalan lancar.

“Selain itu, kita juga memerlukan masa untuk meneliti semua aspek sebelum membuat sebarang komen rasmi berhubung perkara berkenaan.”