Liga Super Malaysia Berita

Ismail Sabri: Liga Malaysia kekal beraksi tanpa penonton

Kerajaan kekal dengan keputusan bahawa Liga Malaysia yang akan bersambung pada 26 Ogos ini perlu beraksi tanpa kehadiran penonton.

Perkara ini disahkan sendiri oleh Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Malah, beliau turut menafikan sebarang spekulasi terhadap perubahan kepada keputusan tersebut dalam mesyuarat yang diadakan oleh pihak kementerian berkaitan.

“Mesyuarat-mesyuarat kementerian adalah salah satu prosedur biasa bagi membincangkan perkembangan kini isu COVID-19 yang melanda di negara ini,” katanya kepada Sinar Harian.

“Cuma jika KKM memberikan nasihat untuk sebarang perubahan baharu, barulah ada perubahan itu.”

Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican juga menafikan bahawa Mesyuarat Mingguan Jawatankuasa Khas akan membincangkan mengenai penundaan.

“Saya ada berhubung dengan Menteri Kanan Keselamatan dan beliau mengesahkan tiada perbincangan atau nasihat mengenai penganjuran acara sukan seperti Liga Malaysia.

“Ia adalah rutin biasa dan sebarang nasihat serta arahan baru akan diperinci atas nasihat Kementerian Kesihatan.

“Justeru, keputusan untuk benarkan Liga Malaysia berlangsung tanpa penonton masih kekal. Liga M dijadualkan bermula 26 Ogos 2020 ini.”