LaLiga Berita

Dua tahun selepas sertai Barcelona, Antoine Griezmann kembali ke Atletico Madrid

Antoine Griezmann membuat kejutan apabila kembali ke Atletico Madrid, hanya dua tahun selepas menyertai Barcelona.

Penyerang Perancis berusia 30 tahun itu, yang menjaringkan 133 gol pada musim pertamanya bersama Atletico, telah kembali dalam perjanjian pinjaman satu tahun dengan pilihan untuk melanjutkan setahun lagi, kata Atletico.

“Selamat datang kembali, Griezmann!” kelab itu menulis di laman webnya.

Keputusan itu mungkin dibuat atas faktor kewangan yang menyebabkan Barcelona terpaksa melepaskan Lionel Messi bulan lalu.

Griezmann juga adalah salah satu pemain yang memperoleh gaji tertinggi sejak menandatangani kontrak pada tahun 2019 dengan harga 120 juta euro.

Kelab Catalan itu mengesahkan pemergiannya, dengan mengatakan Atletico “akan membayar gaji pemain”, serta mengesahkan bahawa perjanjian itu merangkumi klausa perpindahan tetap selepas tempoh pinjamannya selesai.

Kedua-dua kelab tidak menyatakan yuran perpindahan untuk membeli tetapi dilaporkan sekitar 40 juta euro.

“FC Barcelona ingin mengucapkan terima kasih kepada Antoine Griezmann atas komitmen dan dedikasi dan mengucapkan yang terbaik untuk masa depannya,” katanya dalam satu kenyataan.

Griezmann akan menguatkan lagi bahagian serangan Atletico bersama-sama dengan Luis Suarez, yang meninggalkan Barca ke Atletico 12 bulan yang lalu, sehingga muncul juara La Liga musim lalu.

Penyerang Sevilla, Luuk de Jong ditandatangani oleh Barcelona sebagai pengganti Griezmann, meskipun penyerang Belanda itu hanya menjaringkan 10 gol dalam dua musim La Liga di Sepanyol.

Satu-satunya trofi utama Griezmann dengan Atletico adalah Liga Europa 2018, dan beliau meraih Copa del Rey bersama Barca musim lalu, menjaringkan gol pembukaan pada final menentang Athletic Bilbao.

Tetapi sepanjang Griezmann berada di Camp Nou, prestasinya dianggap mengecewakan, dengan pemenang Piala Dunia 2018 itu hanya menjaringkan 22 gol dalam 74 perlawanan liga.

Perpindahan Griezmann bagaimanapun tidak disangka-sangka, memandangkan beliau telah beraksi tiga perlawanan dengan Barcelona dalam musim baru ketika ini.

Luar biasanya, Griezmann memuktamadkan perpindahannya ketika sedang bersama skuad kebangsaan Perancis sebagai persediaan untuk kelayakan Piala Dunia akan datang.

Barcelona juga melepaskan beberapa pemain termasuk Emerson Royal yang berpindah ke Tottenham dan pemain tengah muda, Ilaix Moriba yang menyertai RB Leipzig.

Awal bulan ini, presiden Barca Joan Laporta mendedahkan bahawa hutang Barcelona berjumlah 1.35 bilion euro dan bayaran gaji sekurang-kurangnya 25 peratus lebih tinggi daripada pesaing mereka iaitu 617 juta euro.

Barcelona menduduki tempat kedua dalam La Liga ketika musim pertama Griezmann, lima mata di belakang juara Real Madrid, sebelum berada di kedudukan ketiga musim lalu.