Liga Super Malaysia Berita

Syarikat korporat berminat taja Perak

Sebuah syarikat korporat tempatan dilaporkan berminat untuk menaja Perak bermula musim depan.

Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Komunikasi dan Multimedia Perak, Khairul Shahril Mohamed berkata, perbincangan antara kedua-dua pihak telah bermula sejak Julai lalu, namun belum dimuktamadkan setakat ini.

“Saya juga telah serahkan kepada Pengurus Besar Perak, Azman Noh bagi segala urusan berkaitan termasuk mencari penaja,” katanya kepada Bernama.

Pada 8 April lalu, Khairul Shahril yang juga Ahli Lembaga Pengarah Perak telah menawarkan pegangan saham kelab bola sepak kepada mana-mana pihak yang berminat.

Beliau berkata, keputusan itu dibuat selepas mengambil kira kekurangan jumlah penaja selain tawaran penajaan berkepentingan yang diterima daripada pelbagai pihak.

Perak merupakan salah satu pasukan yang berdepan dengan masalah kewangan musim ini, antaranya kelewatan bayaran gaji yang menjadi faktor mereka kehilangan Guilherme de Paula, Shahrul Saad, Kenny Pallraj, Shakir Hamzah, J Partiban serta dua pemain import iaitu Leandro dan Careca.

Perak kini di tangga kedua tercorot liga dengan mengutip 13 mata daripada 20 perlawanan.