Liga Super Malaysia Berita

[VIDEO] Terengganu catat kemenangan ke-10 musim ini, KL City catat 7 perlawanan tanpa kalah

PJ City gagal memanfaatkan peluang beraksi di gelanggang sendiri apabila tewas 3-0 kepada Terengganu di Kelana Jaya, malam tadi.

Gol pendahuluan dijaringkan seawal minit ke-13 menerusi Dechi Marcell N’Guessan, dengan keputusan 1-0 kekal hingga tamat separuh masa pertama.

Ketika separuh masa kedua hampir ke penghujungnya, Terengganu menambah dua lagi jaringan menerusi David Da Silva meledak gol kedua pada minit ke-89, sebelum Rahmat Makasuf menjaringkan gol ketiga di minit-minit terakhir wisel penamat.

 

Terengganu kini mengumpul 34 mata selepas 17 perlawanan, beza 8 mata dengan pendahulu Liga Super, JDT.

Ia juga merupakan kemenangan ke-10 yang dicatatkan Terengganu musim ini.

Di Kota Kinabalu, Sabah terikat 1-1 menentang KL City.

Pemain pertahanan Sabah, Randy Baruh menjaringkan gol sendiri ketika cuba mengeluarkan bola dari gawang.

Namun Sabah berjaya menyamakan kedudukan menerusi jaringan Levy Medinda pada minit ke-66, dengan keputusan 1-1 kekal hingga tamat perlawanan.

Keputusan itu menyaksikan Sabah berada di tangga ke-7 Liga Super dengan 19 mata, 3 mata di belakang KL City yang mengumpul 21 mata selepas 17 perlawanan.

Sabah juga mencatatkan tiga perlawanan tanpa kalah, manakala KL City mencatatkan 7 perlawanan tanpa kalah setakat ini.