Malaysia Berita

FAM: Bukan mudah untuk menilai kemampuan pemain naturalisasi

Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Stuart Ramalingam mengakui bukan mudah sebenarnya menilai keupayaan seseorang pemain naturalisasi.

Beliau berkata, saranan menjadikan perlawanan persahabatan sebagai ujian terakhir buat pemain naturalisasi tidak boleh diadakan begitu sahaja, malah negara lain juga tidak berbuat demikian.

“Apabila soal perlawanan bola sepak antarabangsa, hanya segelintir pihak mahu bermain kerana mereka mahu membuat penampilan terbaik dalam jendela FIFA, jadi bukan saja soal kita dan pihak lawan mahu, ia juga soal berkaitan melakukannya ketika dalam tempoh penting apabila terdapat kiraan mata ranking untuk direbut,” katanya kepada Bernama.

Stuart menggunakan contoh perlawanan skuad kebangsaan ketika berdepan Kuwait pada 24 Mei lalu, yang mana keutamaan kedua-dua pasukan adalah untuk menurunkan seberapa ramai mungkin pemain bagi melihat tahap prestasi dan persefahaman mereka, bukan sekadar untuk menguji pemain naturalisasi.

“Jadi ia melibatkan soal jumlah pertukaran yang boleh dibuat yang sememangnya berbeza jika dibandingkan dengan ketetapan perlawanan persahabatan Tier 1, jadi dalam konteks ini pihak lawan juga perlu menerima pelawaan bermain perlawanan ujian.”