Pelbagai persoalan muncul di fikiran para pemain setelah Belanda tewas 2-0 kepada Czech Republic malam tadi.
Malah, ia menjadi pasukan Belanda pertama sejak 1980 yang beraksi di Euro dan Piala Dunia yang gagal mencipta sebarang percubaan tepat ke gawang gol.
Matthijs de Ligt menganggap beliaulah punca negaranya tersingkir dari Euro 2020 selepas dilayangkan kad merah awal separuh masa kedua setelah bola terkena tangannya serta dianggap menghalang peluang penyerang Czech, Patrik Schick menjaringkan gol.
“Sudah tentu rasanya sangat teruk,” kata De Ligt kepada NOS.
“Kami pada dasarnya kalah dalam kejohanan kerana apa yang saya lakukan. Saya tidak sepatutnya membiarkan bola itu melantun.
“Akhirnya, saat itu mengubah permainan. Saya melihat bagaimana pasukan berjuang di minit akhir dan saya sangat bangga dengan itu, tetapi saya rasa bertanggungjawab.
“Kami mempunyai beberapa peluang di separuh masa pertama. Tidak ada percubaan ke gawang, tetapi ada peluang. Saya tidak merasa mereka (Czech) jauh lebih baik.
“Sudah tentu, ini sangat sukar. Bermain dalam kejohanan merupakan peluang keemasan. Sekiranya anda tersingkir seperti itu, ia lebih menyakitkan.”
Pemain tengah Belanda, Frenkie de Jong mengakui terkejut dengan persembahan pasukannya kali ini, meskipun berjaya meraih tiga kemenangan berturut-turut di peringkat kumpulan.
“Seolah-olah kita lelah, saya tidak tahu mengapa,” kata De Jong.
“Kami benar-benar mahu memenanginya. Dalam kalangan kami, ini adalah kejohanan terbesar dalam karier mereka setakat ini.
“Bukannya kita tidak dipersiapkan secara taktik. Kami fokus, dan kami pasti tidak mengambil mudah terhadap pasukan lawang, tetapi kami tidak dapat rentak permainan kami. Kadang-kadang ada hari seperti itu.”
Kapten pasukan Georginio Wijnaldum adalah antara pemain paling teruk prestasinya apabila hanya melengkapkan 10 hantaran dalam perlawanan, paling sedikit dari mana-mana pemain Oranje sepanjang Euro dipertandingkan sejak 41 tahun yang lalu.
“Pada separuh masa kedua, kami mempunyai peluang yang baik dan kami harus menyudahkannya,” katanya kepada NOS.
“Peluang gol kami lepaskan, peluang yang ada kami tidak manfaatkan … semuanya bermain di kepala kami. Selepas kad merah, kami merasa sukar untuk meletakkan mereka di bawah tekanan. Segala-galanya menjadi lebih sukar bagi kami.
“Seluruh perlawanan ini sukar untuk dilalui. Entah bagaimana kami tidak dapat menangani cara mereka memberi tekanan kepada kami. Kami tidak dapat mencipta ruang. Kami mencipta beberapa peluang di separuh masa pertama, tetapi itu tidak cukup.
“Sebelum kejohanan, ada banyak kritikan mengenai cara kami bermain, dan kami membuktikan sebaliknya. Hari ini adalah seperti hari cuti. Saya hampir tidak dapat menjelaskannya. Ini sangat sukar, tetapi itulah kenyataannya.”
Republik Czech akan menentang Denmark pada suku akhir Sabtu depan.