Liga Super Malaysia Berita

Danial Amier sertai JDT

Johor Darul Ta’zim (JDT) hari ini memperkenalkan Danial Amier Norhisham sebagai pemain baharu untuk saingan musim 2021.

Pemain tengah berusia 23 tahun itu akan menyarung jersi nombor 16.

Beliau diperkenalkan oleh Tunku Ismail Sultan Ibrahim dan Benjamin Mora kepada peminat dan media hari ini.

Danial memulakan kariernya sebagai pemain remaja di Frenz United pada 2014, sebelum menyertai pasukan pertama dalam karier profesional iaitu Felda United pada 2017.

Tidak sampai empat bulan, jurulatih Felda ketika itu iaitu B Sathianathan membawa masuk Danial dalam skuad utama dan meraih penampilan pertamanya di usia 20 tahun sebagai pemain gantian ketika Felda menentang Pahang pada April 2017.

Sejak itu, Danial menunjukkan prestasi memberangsangkan sehingga JDT berminat untuk menandatanganinya tahun lalu, namun tidak dapat berbuat demikian apabila Felda meletakkan nilai yuran perpindahan sehingga RM1 juta.

Namun, itu tidak mematahkan semangat JDT untuk mendapatkan Danial sebaik sahaja kontraknya tamat pada musim 2020.

Danial juga pernah mewakili skuad kebangsaan B-19 dan B-23 dalam Kejohanan AFC B-19 dan Kejohanan AFC B-23.