Luar Negara Berita

Gigit kemaluan pemain lawan, pemain bolasepak digantung lima tahun

Seorang pemain bolasepak Perancis digantung daripada beraksi selama lima tahun selepas didapati menggigit kemaluan pemain lawan.

Insiden aneh itu berlaku selepas perlawanan liga amatur antara SC Terville dan AS Soetrich yang terletak berhampiran dengan sempadan Perancis dan Luxembourg pada 17 November lalu.

Menurut portal Republicain Lorrain, kedua-dua pasukan mula bergaduh selepas tamat perlawanan dan melarat sehingga ke bilik persalinan dan tempat letak kereta.

Apabila seorang pemain Terville cuba untuk meleraikan pertelingkahan antara dua orang pemain, pemain Soetrich memberi reaksi dengan menggigit kemaluan pemain tersebut.

Mangsa menerima 12 jahitan dan terpaksa mengambil cuti sakit selama empat hari.

Pemain tersebut membuat laporan polis dan jawatankuasa disiplin daerah Moselle membuat keputusan untuk menggantung pemain yang menggigit itu selama lima tahun dan mendenda pasukannya sebanyak 200 euro.

Pemain Terville yang digigit itu turut digantung enam bulan kerana terlibat dengan pergaduhan.

Pasukan Terville juga didenda 200 euro dan dipotong dua mata kerana lambat bertindak dan gagal mengawal keadaan sehingga tercetusnya pergaduhan.

Pengarah urusan daerah Mosselle, Emmanuel Saling mendedahkan insiden itu telah pun direkodkan oleh Persekutuan Bolasepak Perancis (FFF) sebagai salah satu usaha untuk memantau tingkah laku pemain.

“Kejadian itu berlaku selepas tamat perlawanan, di kawasan tempat letak kereta. Ia bermula dengan perang mulut sebelum melarat menjadi teruk.

“Kes ini dianggap serius, jadi ia diambil alih oleh badan majistret dan disiasat dengan terperinci supaya dapat mengumpul fakta setepat yang mungkin.”

Perlawanan tersebut berakhir dengan keputusan seri 1-1 namun Terville terpaksa kehilangan mata pertamanya selepas dua mata dipotong akibat daripada pergaduhan tersebut.