Luar Negara Berita

Bergurau punya pasal, enam bulan pemain ini tidak boleh main bola

Biasanya, pemain bola sering berhati-hati daripada mengalami kecederaan secara tiba-tiba baik di dalam mahupun luar padang.

Namun penyerang Cagliari, Leonardo Pavoletti yang hampir pulih daripada kecederaan lama tidak menyangka dia terpaksa berehat selama enam bulan lagi selepas terjatuh ketika bergurau dengan rakan sepasukannya.

Pemain Itali yang berusia 31 tahun itu sudah menjalani pembedahan di Innsbruck, Austria, selepas mengalami kecederaan di ligamen lutut kira awal bulan ini.

Pavoletti mengalami kecederaan itu ketika menentang Brescia pada bulan lepas, di mana dia terpaksa dikeluarkan pada separuh masa pertama.

Terdapat khabar angin bahawa Pavoletti tercedera kerana bergaduh dengan rakan sepasukan, namun beliau menafikannya sama sekali.

“Kami keluar dari restoran ketika itu dan mula bergurau dengan menolak antara satu sama lain,” kata Pavoletti dalam sidang media.

“Tiba-tiba lutut saya rasa lemah menyebabkan saya terjatuh tanpa mengetahui puncanya. Nasib saya kurang baik.”

Pavoletti terpaksa menamatkan musim ini dengan hanya dua penampilan, satu di Serie A dan satu lagi dalam Coppa Italia.