Liga Super Malaysia Berita

RASMI: Dua slot Piala AFC diberikan kepada juara Piala FA dan naib juara Liga Super

Malaysian Football League (MFL) hari ini mengumumkan bahawa dua slot automatik untuk beraksi di kejohanan Piala AFC pada musim 2021 akan diberikan kepada pasukan juara Piala FA dan naib juara CIMB Liga Super.

Perkara itu diputuskan dalam Mesyuarat Ahli Lembaga Pengarah MFL ke-20 semalam selepas
pengendali Liga Malaysia itu dimaklumkan oleh Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) berhubung
penambahan slot automatik ke peringkat kumpulan Piala AFC.

Sementara slot automatik ke Liga Juara-Juara Asia (ACL) kekal milik juara CIMB Liga Super.
Sebelum ini, Malaysia hanya meraih satu slot automatik ke ACL dan satu slot pusingan Play Off
ACL.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MFL, Dato’ Ab Ghani Hassan berkata, MFL selaku pengendali
Liga Malaysia gembira dengan perkembangan terbaharu itu yang dilihat sebagai peluang terbaik
untuk pasukan tempatan bersaing di pentas antarabangsa.

“Kita sudah dimaklumkan mengenai penambahan slot ini namun masih menunggu surat rasmi
daripada AFC. Kita sudah membuat keputusan awal berhubung perkara ini supaya dapat
memberikan penjelasan awal kepada semua pasukan Liga Malaysia. Apa yang pasti, tambahan
slot ke Piala AFC ini akan menyuntik semangat buat semua pasukan memberi saingan lebih
kompetitif bagi merebut slot berkenaan.”